LONDON – Arsenal memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace pada aksi yang berlangsung di Selhurst Park awal pagi semalam.
Satu gol menerusi Gabriel Martinelli serta jaringan sendiri Marc Guehi memastikan The Gunners meneruskan aksi cemerlang yang ditampilkan ketika mengharungi saingan pramusim.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta nyata gembira dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan barisan pemainnya kerana sedar tidak mudah untuk mendapatkan tiga mata apabila bermain di Selhurst Park.
“Satu kemenangan yang sangat berharga kerana bukan mudah bermain di sini, lebih-lebih lagi dengan suasana yang dicipta penyokong pasukan lawan. Saya gembira kerana kami dapat bawa pulang tiga mata.
“Bagaimanapun, sedikit mengecewakan kerana kami gagal untuk menjaringkan lebih banyak gol walaupun mencipta deretan peluang. Agak melegakan memandangkan kami tidak bolos,” katanya.
Aksi debut melibatkan William Saliba, Gabriel Jesus dan Oleksandr Zinchenko turut mendapat perhatian Arteta yang menyifatkan tiga pemain tersebut sudah hampir menyesuaikan diri dengan pasukan.
“Ini adalah aksi pertama William (Saliba) dalam saingan Liga Perdana, namun dia menunjukkan kematangan di bahagian pertahanan.
Sementara itu, Gabby (Jesus) dan Alex (Zinchenko), mereka sudah ada pengalaman, tetapi masih memerlukan sedikit masa lagi,” ujarnya. – AGENSI