JAKARTA – Polis Indonesia memberkas seorang bekas menteri kerana jenayah kebencian selepas dia memuat naik gambar wajah Presiden Joko Widodo (Jokowi) diletakkan pada patung Buddha dengan menggunakan teknik ‘superimpose’.
“Penangkapan bekas menteri belia dan sukan, Roy Suryo termasuk rampasan akaun Twitter dan telefon bimbitnya. Ia dibuat bagi menghalang suspek daripada menghapuskan sebarang bahan bukti.
“Polis memutuskan untuk menahan Roy Suryo Notodiprojo bermula malam ini sebagai suspek dalam kes ungkapan kebencian,” kata jurucakap polis, Endra Zulpan pada satu sidang akhbar semalam.
Muat naik Roy di laman Twitter itu dibuat pada Jun lalu selepas pemerintah mengumumkan rancangan untuk menaikkan bayaran masuk ke Candi Borobudur, Jawa Tengah. Ia merupakan kuil Buddha terbesar di dunia.
Rancangan itu kemudian dibatalkan selepas menerima kritikan pelbagai pihak.
Dia menulis komen bersama imej pemimpin Indonesia pada patung Buddha yang dimuat naiknya sebagai ‘kelakar’.
Paparannya bagaimanapun mencetuskan kemarahan sebilangan rakyat Indonesia yang menyifatkan perbuatan tersebut menghina Jokowi dan agama Buddha.
Sebuah organisasi dan lelaki beragama Buddha kemudian membuat laporan polis secara berasingan meminta dia ditangkap.
Roy berdepan pertuduhan termasuk jenayah kebencian yang membawa hukuman penjara maksimum enam tahun dan denda satu bilion rupiah (RM298,997). – AFP