fbpx

SPRM nafi wujud unsur ‘dua darjat’ dalam siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam ketika berucap di hadapan ahli Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Jalan Duta hari ini. FOTO : AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menepis kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa wujud unsur ‘dua darjat’ dalam siasatan yang dijalankan badan itu terhadap beberapa tokoh politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberi jaminan mana-mana individu yang dikaitkan dengan skandal rasuah tidak akan terlepas daripada siasatan seperti mana pernah diumumkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Saya jamin tiada siapa yang akan terlepas, semuanya akan dipanggil. Di Parlimen pun disebut telah dan akan memanggil, bermakna siasatan telah kita jalankan.

“Namun begitu, buat masa ini saya tidak boleh dedahkan jumlah (berapa orang) dan siapa (identiti) tetapi ramai yang telah kita panggil untuk siasatan SPRM,” ujarnya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Pertemuan Tahunan Ahli MCW 2022 dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021-2022 dan Pingat Bakti MCW 2022 di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Jalan Duta di sini.

Pada Sabtu lalu, Guan Eng mempersoal tindakan SPRM menyiasat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan menerima dana rasuah, namun tidak mengambil tindakan sama terhadap beberapa orang bekas pemimpin UMNO yang kini sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Guan Eng dilaporkan berkata, SPRM hanya menjalankan siasatan berhubung penyelewengan dana membabitkan seorang menteri dan dua timbalan menteri hanya selepas nama mereka didedahkan semasa prosiding Mahkamah dan bukan atas inisiatif suruhanjaya itu sendiri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI