Oleh WAT KAMAL ABAS
PARIT BUNTAR – Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis terkejut apabila melihat satu mayat terapung di permukaan sungai ketika sedang memancing bersama rakannya di atas jambatan yang menghubungkan Pekan Kuala Kurau dan Bagan Seberang semalam.
Muhammad Izat Aiman Abd. Rashid, 22, berkata, dia pada awalnya benda yang terapung di bawa arus itu merupakan sampah namun terkejut selepas mendapati ia adalah susuk tubuh seorang lelaki.
“Selepas mengamatinya saya sangat terkejut dan terus memberitahu rakan yang sedang memancing bersama.
“Kebetulan ketika itu ada dua anggota polis sedang melakukan rondaan cegah jenayah dan saya segera memaklumkan kepada mereka mengenai kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambah Muhammad Izat Aiman, dia sempat menunjukkan video yang dirakamnya kepada polis berkenaan sebelum mereka memintanya ke Balai Polis Kuala Kurau untuk membuat laporan.
Dalam perkembangan sama, mayat lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Ong Chan Ooi, 38, ditemui terapung dan tersangkut pada salah satu sangkar ikan di perairan Kuala Kurau pada pagi tadi.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, menurut adik perempuan mangsa yang enggan dikenali, abangnya itu sebelum ini menghadapi masalah kemurungan dan telah keluar dari rumah mereka di Kuala Kurau tengah malam kelmarin.
Katanya, bimbang dengan keselamatan abangnya itu, dia dan ahli keluarga bersama kenalan serta jiran tetangga melakukan pencarian di sekitar kawasan sawah padi dan tali air sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Kurau selepas 24 jam mangsa hilang. -K! ONLINE