SERDANG – Perdana Menteri mengarahkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat isu melibatkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dengan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen (JIM) baru-baru ini.
Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau sudah meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali untuk menentukan pemilihan ahli jawatankuasa tersebut nanti.
“Kita minta supaya KSN melihat perkara ini dan menubuhkan jawatankuasa di peringkat dalaman untuk adakan siasatan, kita kena berlaku adil kepada semua pihak termasuk yang mengadu dan juga yang diadu.
“Kita serahkan kepada satu jawatankuasa yang akan ditentukan oleh KSN, siapa pengerusi dan sebagainya untuk membuat siasatan secara dalaman, saya serahkan kepada KSN,” katanya selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) di MAEPS Serdang hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tular dakwaan kejadian KPPA menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan JIM dalam kejadian yang berlaku antara pukul 8.40 hingga 9.40 pagi di KLIA pada Rabu lalu.
Begitupun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan tuduhan Ketua Pengarahnya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai JIM yang bertugas di KLIA.- KOSMO! ONLINE.