KLUANG – Seorang remaja lelaki yang terlibat dengan kemalangan selepas melanggar seekor gajah yang melintas jalan di Kilometer 84 Jalan Kota Tinggi – Kluang malam kelmarin kini beransur pulih.
Ibu mangsa, Saedin Sadoon, 47, berkata, walaupun anaknya, Muhammad Danish Saedin, 17, masih ditidurkan selepas pembedahan semalam namun sudah ada tanda akan pulih.
Katanya, proses pembedahan mengeluarkan darah beku antara tempurung kepala dan muka anaknya mengambil masa kira-kira empat jam sebelum direhatkan hingga hari ini.
“Insya-Allah, petang nanti mesin bantuan pernafasan akan dibuka dan selepas itu baru dapat tahu keadaan sebenar anak, namun saya berharap ianya akan mendatangkan khabar gembira untuk kami sekeluaga.
“Dia adalah anak kedua daripada empat adik beradik dan akan menduduki ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Saedin dalam pada itu berterima kasih di atas doa daripada semua rakyat negara ini serta rakan-rakannya yang banyak mendoakan agar anaknya itu kembali pulih sepenuhnya.-KOSMO! ONLINE