PETALING JAYA – Kesihatan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin semakin baik dan telah sedar sepenuhnya selepas hampir seminggu di rawat di unit rawatan rapi pediatrik (PICU) akibat jangkitan kuman.
Khabar gembira itu dikongsi sendiri bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi laman Facebooknya hari ini.
Menurut Ahmad Safiuddin, bacaan darah Ainul Mardhiah hampir normal semuanya manakala mesin ventilator sudah dimatikan serta banyak ubatan telah diberhentikan.
“Cuma kuman masih ada lagi dan perlu teruskan antibiotik, sehingga bila, itu terpulang pada doktor, doktor lebih tahu. Asalkan Ainul sihat sahaja.
“Hari ini Ainul kena tambah darah, terima kasih penderma darah. Orang seperti Ainul ini sangat perlukan darah tambahan, beruntung orang yang suka menderma darah ini.
“Pahala anda sentiasa mengalir sebab telah berbuat ihsan sesama manusia,” tulisnya di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad Safiuddin berkata, jika tiada yang menderma darah, bagaimanalah hospital hendak mencari darah untuk pesakit seperti anaknya.
“Semoga Allah SWT lapangkan rezeki kalian dan dicukupkan semuanya. Azam lepas ni kita derma darah ramai ramai ya.
“Nampak macam remeh-temeh, tapi percaya lah besar pahalanya sebab dapat bantu orang yang memerlukan. Membantu dan memberi pertolongan tidak semestinya dengan wang ringgit,” katanya. -KOSMO! ONLINE