Oleh AIN SAFRE BIDIN
BAGAN DATUK – Kerajaan negeri Perak akan membantu penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau yang mengalami masalah kesihatan selain hilang mata pencarian apabila tidak lagi mampu membuat persembahan pentas.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, Baitulmal akan mengkaji bantuan yang sesuai selepas melihat sendiri keadaan penyanyi berusia 82 tahun di kediamannya di sini hari ini.
“Kerajaan negeri menzahirkan rasa simpati dengan keadaan beliau yang uzur, menghidap pelbagai penyakit dan tidak dapat mencari rezeki dan terputus pendapatannya.
“Baitulmal akan memproses bantuan untuk beliau dan hari ini kita bawa sumbangan untuk beliau sebagai tanda simpati awal yang akan disusuli dengan beberapa jenis bantuan yang boleh disalurkan, Baitulmal akan siasat terlebih dahulu.
“Sebagai contoh jika beliau tinggal menyewa di rumah ini, kita akan usahakan untuk membayar sewanya,” katanya.
Turut sertai dalam ziarah itu ialah pegawai dari Baitulmmal Daerah, Pegawai Tabdir Agama Daerah, Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasa) dan Jabatan Penerangan Perak.
Sementara itu, M. Daud Kilau menyatakan rasa gembira dan terhari di atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap masalah yang dialaminya.
“Separuh penyakit saya ni rasanya macam hilang apabila menerima kunjungan daripada pihak kerajaan negeri hari ini,” katanya.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek itu yang menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil.
Menurutnya, beliau kini bergantung pada pengambil ubat setiap hari.
“Saya menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tiga atau empat bulan. Sebelum ini saya membuat pemeriksaan di Hospital Selayang.
“Namun kerana terpaksa menunggu terlalu lama, saya minta buat rawatan di Hospital Teluk Intan dan sekarang buat pemeriksaan di klinik kesihatan di Bagan Datuk,” katanya.
Walaupun mengalami masalah kesihatan, M. Daud Kilau tetap berhasrat untuk membuat persembahan untuk mengubat kerinduan para peminatnya.
“Kalau kesihatan saya pulih, saya akan berjumpa peminat saya,” katanya. -K! ONLINE