KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan kaedah baharu pembayaran caj petak tempat letak kereta di bahu jalan di sini bermula satu Oktober.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan DBKL, mulai esok pengguna perlu bayar caj parkir menggunakan aplikasi dan e-wallet yang telah ditetapkan.
“Pengguna boleh membayar di aplikasi seperti EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash.
“Perancangan dan integrasi dengan Boost dan Touch `n Go e-wallet juga sedang dilaksanakan bagi memberi pilihan yang lebih luas kepada pengguna untuk kaedah pembayaran ini,” katanya dalam kenyataan tersebut di sini hari ini.
Jelasnya, pas harian dan pas bulanan untuk parkir pada ketika ini masih belum beroperasi.
“Kemudahan ini akan diaktifkan setelah naik taraf sistem dilaksanakan.
“Permohonan untuk petak khas masih beroperasi seperti biasa dan kadar caj Tempat Letak Kenderaan (TLK) kekal,” ujarnya.
Tambahnya, kaedah pembayaran caj petak tempat letak kereta bahu jalan yang menggunakan mesin akan berakhir pada hari ini. – K! ONLINE.