PUTRAJAYA- Hakisan hutan sekunder akibat penukaran guna tanah kepada hutan ladang sejak tahun 2010 disifatkan menjadi antara punca tragedi banjir di Baling, Kedah pada 20 Julai lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Rosli Isa berkata, hakisan hutan sekunder itu telah meningkatkan kadar hakisan di kawasan tanah tinggi seterusnya membawa kepada perlodakan dan mencetekkan sungai.
“Ia antara punca disebabkan fenomena proses geologi berangkai yang menyebabkan kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di ‘terain’ perbukitan grant terluluh hawa akibat cetusan hujan lebat melampau diikuti pembentukan aliran pusing, banjir puing dan banjir lumpur.
“Keadaan itu diburukkan lagi apabila jambatan Kampung Iboi yang menjadi ‘empangan sementara’ ketika banjir berlaku menyebabkan banyak puing pasir dan kayu-kayan terkumpul dan menghasilkan kuasa damparan tinggi hingga memusnahkan harta benda,” katanya pada majlis taklimat Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah di sini hari ini.
Katanya, apabila bahan puing pasir dan kayu kayan terdampar, banjir puing menjadi banjir lumpur sekali gus menyebabkan kerosakan harta benda dan petempatan di hilirnya.
“Kolam takungan air, tandak dan kolam perangkap lodak di sepanjang alur sungai tidak memainkan peranan dalam bencana ini, sebaliknya menjadi mangsa kepada rempuhan aliran puing.
“Jadi, kami akan meminta kerajaan negeri Kedah untuk mengambil langkah sewajarnya sama ada mengekalkan ladang hutan atau dikembalikan menjadi hutan perlindungan,” ujarnya.
Sementara itu, wakil pasukan Siasatan Bencana Tragedi Baling, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, pihaknya menganggarkan sebanyak tujuh juta meter padu puing selepas terjadinya bencana ini.
“Apabila aliran puing surut dengan pantas hingga mengurangkan kuasa sekali gus meninggalkan sisa bongkah, puing dan pasir di hulu serta sungai. Jumlah sisa tersangat banyak hinggakan jumlah yang ditinggalkan malah kita tidak sempat mengira di Bahagian atas,” katanya. -KOSMO! ONLINE