fbpx

Peluru berpandu hujani laut Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PLA menjalankan ujian peluru berpandu ke perairan pantai timur Taiwan dari lokasi yang tidak didedahkan, kelmarin.- CNN

BEIJING – Sekurang-kurangnya 11 peluru berpandu China dilancarkan ke arah laut utara, selatan dan timur Taiwan, kurang 24 jam selepas Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi melakukan lawatan rasmi ke wilayah tersebut, lapor akhbar The New York Times, kelmarin.

Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) mengisytiharkan peluru berpandunya mengenai tepat pada sasaran walaupun Jepun berkata, lima daripada misil tersebut mendarat di perairan negara itu.

PLA menggelar latihan itu sebagai permulaan kepada hukuman ke atas Taiwan kerana berani menerima kehadiran Pelosi meskipun telah diberi amaran keras.

Ketegangan bagaimanapun boleh meningkat dengan mendadak terutama apabila peluru berpandu yang mendarat berhampiran Jepun dilihat sebagai mesej bahawa China boleh menewaskan tentera AS yang ditempatkan di situ.

Dalam masa sama, ia juga dilihat bertujuan sebagai amaran kepada Tokyo mengenai impak terhadap pakatannya dengan Washington.

Kerajaan Jepun kelmarin berkata, lima peluru berpandu balistik China telah jatuh ke dalam zon ekonomi eksklusifnya dan ia adalah kali pertama situasi tersebut berlaku.

Sebuah lagi peluru berpandu dilaporkan mendarat 80 kilometer (km) di barat laut Yonaguni, sebuah pulau kecil di hujung paling selatan Jepun.

“Ini adalah isu serius yang melibatkan keselamatan negara kita dan keselamatan rakyat,” kata Menteri Pertahanan Jepun, Nobuo Kishi.

Sementara itu, tentera Taiwan semalam berkata, jet-jet pejuang dan kapal perang milik Beijing telah melangkaui garisan pemisah di Selat Taiwan sambil menyifatkan latihan ketenteraan tersebut sebagai melampaui batas.

“Setakat pukul 11 pagi (waktu tempatan), beberapa kumpulan jet pejuang China melaksanakan latihan di sekitar Selat Taiwan dan melintasi garisan pemisah.

“Latihan ketenteraan oleh China ini, sama ada pelancaran peluru berpandu balistik atau melintasi garisan pemisah adalah langkah yang amat provokatif,” kata Kementerian Pertahanan Taiwan.

Dalam masa sama, para pegawai White House cuba mengimbangi kenyataan bagi menunjukkan bahawa mereka tidak gentar dengan tindakan China sambil mencari jalan bagaimana untuk meredakan kemelut itu.

Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata, Pentagon telah mengarahkan kapal pengangkut USS Ronald Reagan untuk kekal di stesennya yang terletak agak jauh dari pintu masuk ke Selat Taiwan.

Pada masa yang sama, Kirby menegaskan bahawa AS akan meneruskan pergerakan kebebasan navigasi memindahkan kapal Tentera Laut melalui Selat Taiwan, namun menunggu sehingga latihan ketenteraan PLA tamat.

Ia adalah strategi yang mempunyai pendekatan serupa yang diambil oleh Presiden Joe Biden semasa krisis Russia-Ukraine iaitu ‘awasi Taiwan, tetapi jangan sehingga meletakkan tentera AS berdepan dengan bahaya secara langsung’. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI