fbpx

Ramai desak projek Taman Teknologi di Bertam dibatal serentak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemaju akhirnya membatalkan cadangan pembinaan asrama warga asing setelah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama penduduk sekitar.

SEBERANG PERAI – Keputusan kerajaan negeri untuk tidak meneruskan pembangunan projek kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) di Bertam disambut baik beberapa pihak namun, kebanyakan mereka mahu satu lagi projek Taman Teknologi Pulau Pinang (PTP) di situ juga tidak diteruskan.

Selain penduduk sekitar Bertam yang terkesan dengan pelaksanaan projek tersebut, gesaan pembatalan projek PTP itu dibuat sebuah biro dibawah parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar di sini.

Wakil penduduk, Mohd. Fahmi Abdul Rejab berkata, mereka masih kekal dengan pendirian untuk tidak mahu sebarang projek khususnya yang melibatkan industri dibangunkan di situ.

“Lagipun sehingga kini, pemaju yang berkenaan masih belum datang untuk berjumpa dengan kami dan memberitahu projek atau kilang-kilang yang akan dibangunkan dibawah PTP itu.

“Dalam hal ini, saya percaya jika PTP masih diteruskan, lambat-laun mungkin dalam tempoh lima hingga ke 10 tahun akan datang, isu CLQ pasti akan muncul semula,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin semalam mengumumkan pembatalan projek CLQ selepas mengambil kira pandangan pemegang taruh termasuk penduduk berjiran serta jabatan-jabatan teknikal yang terlibat.

Dalam pada itu, Pas Pulau Pinang menerusi Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) parti itu, Md. Saiful Lizan Yusoff dalam satu kenyataan juga sependapat dan mahu kedua-dua projek itu dibatalkan serentak.

“Tindakan pemaju yang pernah memulakan kerja tanpa EIA (kelulusan penilaian impak alam sekitar) sebelum ini amat menimbulkan keraguan,” soalnya yang turut memaklumkan masih belum terlambat untuk kerajaan negeri memperbetulkan keadaan dengan tidak meneruskan cadangan pelaksanaan PTP.

Turut senada ialah Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), Zikrullah Ismail dengan berkata, proses kelulusan kajian Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) bagi PTP sebelum ini amat meragukan apabila kelulusan dibuat hanya melibatkan 411 responden secara tertutup tanpa pendengaran awam. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI