fbpx

Angkatan luar biasa Bonnie Bunyau berbutir emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BONNIE merangkul pingat emas pada pentas Sukan Komanwel selain memecahkan rekod temasya berkenaan dengan rekod angkatan 220 kilogram.

IMPIAN atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin untuk membutirkan kilauan pingat emas di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 akhirnya tercapai selepas mengungguli kategori lightweight (bawah 72 kilogram) awal pagi semalam.

Kemenangan tersebut memastikan atlet berusia 23 tahun itu menambah koleksi kejayaan di pentas antarabangsa apabila merangkul gelaran dunia dua kali pada 2019, 2021 selain meraih pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Tokyo tahun lalu.

Lebih membanggakan, atlet kelahiran Sarawak tersebut berjaya memecahkan tiga rekod Sukan Komanwel dengan angkatan keseluruhan 220 kilogram (kg) dengan mengumpul 154.6 mata keseluruhan.

Kejayaannya itu sekali gus dapat membantu Malaysia menambah pingat emas keempat dan kini hanya kurang dua daripada enam yang disasarkan kontinjen negara.

“Birmingham saya dapat pi­ngat emas dan berjaya pecah tiga rekod di Sukan Komanwel. Pingat ini saya mahu hadiahkan kepada mak dan ayah saya. Selepas di­sahkan emas menjadi milik saya, saya terus menghubungi mereka.

“Saya ingin menghadiahkan pingat emas ini kepada mereka berdua dan kemenangan ini juga buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pada saingan tersebut, Bonnie memulakan angkatan pertama dengan 210kg sekali gus meme­cah rekod temasya. Seterusnya Bonnie tidak berdepan sebarang masalah apabila berjaya melakukan angkatan 216kg (kedua) dan 220kg (ketiga).

Kejayaan itu juga memboleh­kannya menebus kekecewaan di Gold Coast 2018 apabila pulang dengan tangan kosong dalam penampilan sulung di Sukan Komanwel.

Pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Mark Swan yang mengumpulkan 147.6 mata dan gangsa milik Innocent Nnmandi (145.5 mata) dari Nigeria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI