LIVERPOOL – Penyerang baharu Liverpool, Darwin Nunez sudah tidak sabar untuk memulakan saingan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berkunjung ke Stadium Craven Cottage bertemu Fulham malam ini.
Dia yang sudah pun membuka akaun jaringan bersama The Reds pada aksi Perisai Komuniti minggu lalu bagaimanapun percaya tidak mudah untuk merobek pintu gol lawan dalam liga kompetitif seperti EPL.
Justeru, pemain antarabangsa Uruguay itu sedia untuk melakukan segala-galanya serta bekerja lebih keras bagi memastikan Liverpool memulakan kempen 2022/23 dengan mengutip tiga mata penuh.
“Apa yang pasti, kami perlu bekerja keras dalam sesi latihan bagi melakukan persiapan terbaik untuk perlawanan pertama musim ini. Dalam Liga Perdana, tidak ada istilah perlawanan mudah kerana semua pasukan sangat kompetitif.
“Saya hanya mahu masuk ke dalam padang dengan memberikan segala-galanya seawal minit pertama dan cuba membantu pasukan untuk menang. Jika kami tidak berwaspada, mungkin pasukan akan hilang tiga mata,” katanya.
Dalam pada itu, Nunez turut menegaskan, dia tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik pada saingan musim ini, sebaliknya hanya mahu membantu pasukan dalam setiap perlawanan yang dihadapi.
“Secara jujur, saya tidak ada sebarang sasaran jumlah jaringan kerana tugas utama adalah untuk membantu pasukan. Saya percaya rakan sepasukan sentiasa berada di belakang bagi memastikan saya dapat menjaringkan gol,” ujarnya. – AGENSI