fbpx

Pengalaman ‘terkucil’ penyanyi popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CERITA tentang penyanyi yang mengalami momen ‘ngeri’ apabila nyanyian terkucil ketika membuat persembahan bukan sesuatu yang asing dalam dunia hiburan tempatan mahupun antarabangsa.

Di tanah air, antara nama yang sering ‘diejek’ kerana nyanyian ‘luar biasa’ ialah Nabila Razali, Nuha Bahrin dan terbaharu Ning Baizura.
Pengalaman buruk tersebut bukan sahaja memberi impak terhadap imej malah mereka turut dibuli dan dikecam orang ramai khususnya netizen apabila video nyanyian tular dalam media sosial.

Ada yang membalas semua segala kritikan, diam 1,000 bahasa, meminta maaf bahkan membiarkan sahaja semua kecaman tersebut senyap dengan sendirinya.
Kecaman tak meruntuhkan semangat. Gala minggu ini menyenaraikan empat anak seni terkenal yang pernah melalui kejadian suara tergelincir ketika membuat persembahan di pentas besar.

Datuk Seri Siti Nurhaliza

Tidak terlepas melalui pengalaman suara ‘pecah’, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga pernah menjadi mangsa kecaman selepas nyanyiannya di pentas Anugerah Bintang Popular (ABP)pada 2017 tergelincir.

Dalam kejadian tersebut, Siti menyampaikan lagu Segala Perasaan dan suaranya tergelincir ketika menyanyikan bahagian bernada tinggi.

Disebabkan dia seorang penyanyi berpengalaman, ramai yang menegaskan kesalahan sebegitu tidak seharusnya berlaku.

Sedar dengan kekhilafan diri, pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin itu memberitahu, perkara tersebut bukan satu hal yang perlu diambil serius.
Katanya kesilapan sebegitu berlaku kerana tersilap ‘teran’ pada bahagian tertentu.

 

Keisya Levronka

SENASIB dengan Nabila, Keisya Levronka, 19, yang merupakan penyanyi kelahiran Indonesian Idol 2019 mengakui malu dengan kejadian yang menimpanya ketika membuat persembahan di Jakarta pada Jun lalu.

Video nyanyiannya tular sehingga mendapat kritikan ramai apabila ‘terkucil’ ketika menyanyikan lagu miliknya berjudul Tak Ingin Usai.

Usai persembahan, Keisya mengaku malu dengan kejadian tersebut, namun berjanji untuk memperbaiki kelemahan nyanyiannya.

“Saya malu, namun akan memperbaikinya. Tidak sedih dan saya baik-baik sahaja.

“Tidak berasa murung malahan lebih terbuka untuk menerima kritikan dan nasihat,” ujarnya kepada pihak media.

Difahamkan, itu bukan kali pertama Keisya mengalami kejadian sebegitu. Dia pernah tergelincir dalam beberapa buah persembahan lain sebelum ini.
Kebanyakannya berlaku ketika dia menyampaikan nada tinggi.

Demi Lovato

BUKAN sahaja penyanyi tempatan, malah momen nyanyian tergelincir turut dilalui penghibur bertaraf antarabangsa seperti Demi Lovato.

Sebagai seorang manusia dan dilabel penyanyi bersuara hebat, Lovato juga tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan seperti nyanyian yang tidak mencapai nada yang sepatutnya.

Momen tersebut berlaku ketika dia menyampaikan lagu Stone Cold pada persembahan iHeartRadio Theater di New York pada Oktober 2017.

Ketika menyanyikan bahagian akhir korus, suaranya pecah sehingga tidak mampu menghabiskan baki nyanyiannya.

“Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” jeritnya kepada penonton yang bersorak memberinya semula semangat.

Usai membuat persembahan, dia turut memuat naik ciapan berterima kasih kepada para peminat yang sentiasa memberi sokongan.

“Walaupun hilang suara ketika menyanyi di atas pentas, peminat saya tahu bagaimana untuk tidak membuat saya rasa teruk, terima kasih,” ciapnya dalam Twitter.

NABILA RAZALI

Nabila Razali

JIKA ditanya kepada umum tentang pemilik nama penuh Nur Nabila Mohd. Razali, pastinya tidak dapat dilupa momen suaranya terkucil pada tahun lalu.

Menimbulkan kekecohan dalam media sosial, suara Nabila terkucil ketika menyampaikan lagu Peluang Kedua di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).

Momen tersebut menjemput ribuan kecaman dan komen daripada netizen sehingga tular. Malah ada yang berpendapat pelantun lagu Putus itu tidak layak untuk bertanding dalam pertandingan sebesar itu.

Meskipun berduka dengan kejadian menimpanya, Nabila menitipkan permohonan maaf dan berharap orang ramai memberinya peluang untuk terus memperbaiki kelemahan diri.

Sebelum kejadian di AJL34, nyanyiannya juga pernah terkucil ketika membuat persembahan lagu sama dalam program MeleTOP.
Kini, dia kembali meraih pujian apabila ramai yang berpendapat mutu vokalnya bertambah baik.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI