BIRMINGHAM – Tiga ahli kontinjen Sukan Komanwel Sri Lanka dilaporkan hilang di perkampungan sukan memaksa pihak Polis Birmingham membuka kertas siasatan.
Sri Lanka yang kini berdepan krisis ekonomi, mengesahkan seorang atlet gusti dan judo serta jurulatih judo gagal dikesan sehingga menimbulkan spekulasi bahawa ketiga-tiga telah cabut lari.
Bagi mengelak perkara tersebut berulang, kontinjen Sri Lanka mengambil tindakan segera apabila meminta kesemua atlet dan pegawainya di Sukan Komanwel menyerahkan pasport masing-masing.
Jurucakap kontinjen Sri Lanka, Gobinath Sivarajah berkata, Polis Birmingham sedang menyiasat kehilangan tiga individu berkenaan.
“Kami sudah mengarahkan semua atlet dan pegawai menyerahkan pasport kepada pegawai di venue masing-masing sebaik tiba di sini.
“Pihak polis sedang menyiasat dan ketiga-tiga individu itu tidak boleh merentas sempadan United Kingdom kerana tidak mempunyai pasport. Apa yang berlaku amat malang sekali,” kata Sivarajah.
Bagaimanapun, Polis West Midlands telah mengesahkan bahawa dua daripada mereka yang telah hilang sudah ditemui, namun seorang lagi atlet masih gagal dikesan.
Ini bukan kali pertama atlet hilang ketika sertai temasya sukan utama kerana sebelum ini beberapa atlet Afrika hilang di Australia pada 2018, manakala 26 atlet juga hilang di Manchester pada 2002.
Semasa Sukan Olimpik London 2012, 21 atlet dan jurulatih hilang, manakala pada tahun 2011 seluruh pasukan bola sepak dari Senegal melarikan diri dari hotel mereka di Perancis. – AGENSI