Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Cubaan seorang lelaki menyeludup minuman keras bernilai RM124,881 gagal apabila ditahan di Taman Nusa Bestari 2, Bandar Bestari, di sini pada petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, lelaki berusia yang ditahan berusia 46 tahun merupakan warga tempatan.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, suspek ditahan ketika membawa kereta Nissan Sylphy di kawasan taman berkenaan.
“Ketika pemeriksaan dibuat, pihak berkuasa menemui 56 karton dan sembilan kotak arak seludup yang tidak mempunyai cukai kastam.
“Ekoran itu, minuman keras berkenaan dirampas beserta kenderaan terbabit. Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM164,881,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Muhd. Zailani, suspek ditangkap beserta barangan rampasan dibawa ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, di sini untuk tindakan lanjut
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” ujarnya.-K! ONLINE