fbpx

Kerajaan P. Pinang diminta henti hasrat batalkan kelayakan empat ADUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harris Idaham.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang diminta agar menghentikan hasrat untuk menyambung prosiding di mahkamah bagi membatalkan kelayakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Exco Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, ini kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan mendapati bahawa tindakan-tindakan tersebut tidak sama sekali menjejaskan kelayakan seseorang sebagai wakil rakyat.

”Sayap Armada Bersatu ingin menegaskan supaya kerajaan negeri Pulau Pinang menghentikan hasrat untuk menyambung prosiding di mahkamah untuk membatalkan kelayakan empat ADUN ini.

”Memandangkan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP telah menyokong penuh pindaan tersebut di Dewan Rakyat, mereka perlu membuktikan komitmen dan melaksanakan pindaan yang sama di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

”Mereka juga disarankan tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan pindaan tersebut demi menghormati persetujuan yang telah dicapai oleh kesemua 209 Ahli Parlimen yang mengundi pindaan tersebut termasuklah ahli Parlimen dari DAP sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Empat ADUN berkenaan ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya, bekas wakil rakyat PKR), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh, bekas wakil rakyat PKR), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam, BERSATU) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang, BERSATU).

Keempat-empat ADUN itu sebelum ini memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong PN.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan kemudiannya memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu, berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI