PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2022-2025 sulungnya bagi mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan kelakuan, tadbir urus dan nilai integriti tinggi dalam segenap perniagaannya.
Pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr. Ismail Bakar dan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Izani Wan Ishak di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ismail berkata, sebagai organisasi yang secara langsung menguruskan Amanah pelanggan, Bank Islam peka bahawa kredibilitinya bergantung pada ketelusan, kecekapan dan etika perniagaan.
“OACP Bank Islam adalah strategi tiga tahun untuk mengukuhkan aspek tadbir urus, integriti dan kawalan anti rasuahnya dengan pendekatan toleransi sifar terhadap sebarang bentuk rasuah.
“Bank Islam akan sentiasa mengikuti perkembangan pengurusan risiko integriti dan mengambil langkah untuk mencegah sebarang tingkah laku tidak beretika, terutamanya rasuah,” katanya dalam satu kenyataan semalam. -KOSMO! ONLINE