fbpx

Muhammad Azeem bakal ke Amerika Syarikat, Perak sedia bantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM dilapor bakal menyambung pelajaran ke AS.

Oleh LIYANA RAMLI

KERAJAAN Perak sedia untuk memberikan bantuan kepada jaguh pecut remaja negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi termasuk menambah elaun bagi memastikan prestasi atlet tersebut pada tahap terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak diminta untuk memperhalusi beberapa komitmen melibatkan atlet berusia 18 tahun itu.

“Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak sudah diarahkan untuk memberi segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh Azeem walaupun dia akan berlatih di luar negara atau belajar di luar negara, tetapi komitmen dengan Azeem mesti diteruskan.

“Sebelum ini ada elaun, wajib untuk kita teruskan kalau perlu ada penambahan, kita akan pertimbangkan sebab kita nak Azeem berada bersama de­ngan kontinjen Perak,” katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Pelancaran Pertubuhan Usahawan Teknologi, Inovasi dan Kreativiti Kinta Perak (Putik), Program SIL dan Aplikasi Stopover di Hotel M Roof, Ipoh semalam.

Menurut Khairul Shahril, pihaknya juga turut mencadang­kan agar Azeem melanjutkan pengajian ke luar negara bagi mendapatkan pendedahan yang lebih baik.

“Kerajaan negeri juga sedia berbincang dengan keluarga Azeem berkaitan bentuk komitmen yang diperlukan untuk ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, teka-teki me­ngenai hala tuju Azeem selepas ini sudah terjawab apabila dia memilih untuk berkelana ke Amerika Syarika (AS) sebagai destinasi pilihannya melanjutkan pengajian.

Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah mendedahkan bahawa anak didiknya telah menerima tiga tawaran universiti di Amerika Syarikat.

“Apa yang saya difahamkan, Azeem telah menerima tawaran universiti di AS dan dia (Azeem) juga sudah putuskan untuk melanjutkan pengajiannya di luar negara iaitu AS.

“Tetapi ketika ini masih dalam perbincangan bersama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukan universiti yang terbaik untuk dirinya. Jika semuanya berjalan lancar, Insya-Allah Azeem akan ke AS nanti,” kata Amir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI