KOTA BHARU – Tindakan seorang peniaga memuat naik status menghina dan menuduh anggota polis mengambil suapan di laman Facebook mengundang padah apabila ditahan malam kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 40 tahun itu dibuat pada pukul 11 malam di sebuah rumah di Kuala Krai selepas pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 1 tengah hari hari sama.
Menurutnya, suspek dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan yang ditujukan kepada polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Kuala Krai sehingga tular dalam media sosial.
“Polis merampas telefon pintar yang digunakan suspek untuk memuat naik hantaran tersebut di Facebook dan kad sim.
“Sebenarnya, kawasan SJR di Kuala Krai itu kerap berlaku kemalangan kecil dan tempat orang ramai membuat pusingan U,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki, mengingatkan pengguna media sosial supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang dikhuatiri boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah individu atau jabatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE