fbpx

Berjiran bukan untuk dapat ‘pulangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHD. YUNUS YAKKUB,
WAKIL KOSMO! SELANGOR

TIDAK kira menetap di kediaman flat, kondominium atau teres, pastinya kita masih hidup berjiran antara satu sama lain.

Namun, budaya kejiranan khususnya tinggal di bandar semakin layu dengan adab dan kemesraan tidak sama seperti dahulu.

Hidup zaman milenium, kita dihimpit kesibukan bekerja dan kehidupan yang tertekan sehingga tidak peka dengan apa yang berlaku di sebelah rumah, malah sukar melemparkan senyuman jika terserempak.

Akhirnya, hubungan antara jiran renggang. Jika berlaku sesuatu yang menyinggung pera­saan boleh membawa pertengkaran dan pergaduhan sehingga ada maut untuk hal remeh.

Begitu juga berlaku di Klang baru-baru ini apabila teguran seorang tukang besi kepada jirannya yang menolak air sehingga memasuki rumahnya ber­akhir dengan pukulan menggunakan penyodok air.

Akibatnya, tukang besi itu menerima 15 jahitan pada dahi. Selain itu, tular juga kisah sebuah rumah flat yang disembur dengan pewarna akibat terlalu bising.

Berkemungkinan, konsep berjiran sekarang ini dianggap sudah ketinggalan zaman dan sukar dihayati kerana penduduk urban lebih kepada mengejar masa.

Realiti manusia, apabila ditimpa musibah baharu hendak ‘bersosial’ dengan jiran setempat.

Bagi Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohamad Azmi Adnan berkata, masalah itu berlaku dise­babkan psikologi individu yang terlalu memfokuskan kepada kehidupan dan masalah sendiri.

Katanya, mereka lebih memikirkan kepada penyelesaian masalah kerana terhimpit de­ngan kegelisahan ekonomi susulan kenaikan harga barang dan pandemik.

“Jadi, wujud sikap penting diri sendiri. Mereka juga akan cepat hilang kawalan dan cuba menghembuskan nafas kemarahan apabila ditegur.

“Justeru, tidak mustahil berlakunya pergaduhan dan pukul-memukul walaupun hanya sekadar bertanya khabar dan mela­kukan teguran positif,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambah beliau, situasi ini juga lebih kepada aspek kesihatan mental yang kadangkala enggan diakui sehingga menghancurkan dan mengorbankan keharmo­nian semangat kejiranan.

Mohamad Azmi menjelaskan, interaksi atau sudut keakraban hubungan silaturahim di bandar sebenarnya berada dalam kea­daan kritikal.

“Jadi, tiada pilihan dan perlu mengubah balik kefahaman konsep kejiranan kepada satu transformasi seperti The sense of belonging.

“Kalau jiran sakit terus kita bantu dengan membawa ke hospital atau menghulurkan makanan atau wang sekiranya mereka menghadapi masalah kekurangan bekalan harian.

“Ini cara kejiranan dahulu dengan jaringan sosial yang sihat untuk saling ambil peduli dan memahami,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perubahan pemikiran juga perlu dilakukan dengan tidak menjadikan balasan atau pulangan segera untuk melakukan sesuatu kepada jiran-jiran.

“Kita sepatutnya apabila membantu jiran adalah secara sukarela dan dasar tanggungjawab sosial bagi mengekalkan konsep perpaduan dan keharmonian bermasyarakat.

“Dalam Islam sendiri, kita berpegang bahawa sesuatu yang baik dilakukan akan mendapat balasan sewajarnya daripada Allah walaupun kita berbakti kepada orang bukan Islam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI