SHAH ALAM – Seorang kontraktor dan dua pekerja yang melakukan pengubahsuaian rumah bekas pembaca berita, Zalina Shaharah Azman di Seksyen 3 di sini didapati tiada kaitan dengan kehilangan wanita itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ini berdasarkan keterangan yang diambil daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an dua minggu lalu.
Katanya, mereka melakukan kerja-kerja pengubahsuaian pada 2019 selepas setahun Zalina membeli rumah itu.
“Ubah suai rumah dilakukan secara berperingkat bermula dengan pendawaian, studio galeri, tempat masak dan rakaman.
“Kos ubah suai adalah RM320,000 dengan dua transaksi pembayaran dilakukan Zalina berjumlah RM260,000 dengan terakhir pada Ogos tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kerja-kerja ubah suai rumah Zalina turut dilakukan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Zalina, 57, bagaimanapun tidak meneruskan kerja-kerja tersebut kerana tidak mempunyai wang selepas siap kira-kira 60 peratus.
“Setakat ini, sebanyak 20 individu telah diambil keterangan sejak kehilangan wanita tersebut pada hujung tahun lalu,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan polis melakukan penggeledahan sebanyak tiga kali di rumah Zalina, Mohd. Iqbal memaklumkan, tindakan itu bagi memastikan pihaknya tidak tertinggal bukti.
“Dalam pemeriksaan terakhir pada 28 Julai lalu, polis merampas komputer riba untuk dianalisis dan beberapa dokumen.
“Pemeriksaan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) juga gagal mengesan sebarang jejak di rumah tersebut,” tegasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kehilangan Zalina sejak sembilan bulan lalu terus menjadi misteri apabila tiada sebarang petunjuk mengenainya sehingga kini. – KOSMO! ONLINE.