GUA MUSANG – Seramai 11 orang yang terdiri daripada empat keluarga di Felda Chiku 3 di sini tinggal sehelai sepinggang selepas sebuah rumah separa batu yang menjadi tempat tinggal mereka musnah dalam kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, semua ahli keluarga sedang berehat dan menonton televisyen sebelum menyedari api marak dari salah sebuah bilik rumah berkenaan.
Mangsa, Hasiah Saat, 59, yang merupakan seorang peneroka berkata, dia tinggal bersama tiga orang anak, dua menantu dan lima cucu di rumah berkenaan.
Katanya, mereka tidak sempat menyelamatkan barangan berharga dan mengalami kerugian dianggarkan lebih RM100,000 apabila enam buah motosikal dan sebuah kereta turut hangus dalam kebakaran itu.
“Sebelum kejadian, saya bersama anak dan cucu sedang menonton televisyen sebelum mendengar jeritan salah seorang daripada anak yang menyurh kami semua lari.
“Kami terkejut sebelum menyedari api sudah marak membakar bilik tidur binaan kayu di bahagian tingkat atas rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Anak kedua Hasiah, Nik Suhana Nik Hassan, 38, pula berkata, mereka sedih apabila rumah yang menjadi tempat tinggalnya sejak lahir musnah sekelip mata dalam kebakaran.
Katanya, dia juga bersyukur apabila semua ahli keluarganya selamat termasuklah seorang bayinya yang berusia tujuh bulan.
“Kami kini tinggal menumpang di rumah adik beradik lain di kawasan berhampiran buat sementara waktu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima penggilan kecemasan pada pukul 9.53 malam dan kebakaran dapat dikawal pada pukul 12.35 tengah malam.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE