PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan dengan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di utara Sarawak (Bintulu, Miri & Limbang), barat Sabah dan Labuan di antara 6 hingga 8 Ogos nanti.
Metmalaysia dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, Berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), satu sistem cuaca tekanan rendah di barat Filipina dijangka bergerak menuju ke Vietnam dalam tempoh 6 hingga 8 Ogos ini.
“Keadaan ini berpotensi membawa angin baratan yang kuat dan boleh menyebabkan kejadian garis badai yang akan membawa bersama hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di utara Sarawak (Bintulu, Miri & Limbang), barat Sabah dan WP Labuan dalam tempoh tersebut,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, jelasnya, amaran angin kencang dan laut bergelora (Kategori Pertama dan Kedua) juga telah dikeluarkan di perairan Laut China Selatan pada 6 hingga 9 Ogos.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE