BENTONG – Mayat seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika memancing di Loji Air Semantan di sini ditemukan kira-kira 1.5 kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang di Sungai Semantan di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman,26, ditemukan terapung kira-kira pukul 10.28 pagi.
“Mayat mangsa ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan unit Anjing Pengesan JBPM kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa dibawa naik dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut serta dibawa ke hospital,”katanya di sini hari ini.
Kelmarin seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika memancing di kawasan Loji Air Semantan dekat Kampung Lengkong di sini.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, aras air loji berkenaan tiba-tiba naik ketika mangsa bersama seorang rakannya memancing di loji berkenaan.
Kedua-dua mangsa cuba menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas batu menyaksikan rakan mangsa berjaya melompat ke atas sebuah batu besar manakala mamgsa dihanyutkan arus deras.
Menurut Ismail operasi pencarian hari ini dimulakan pada pukul 8.30 pagi melibatkan kira-kira 50 anggota penyelamat dan 10 orang awam dengan operasi pencarian sehingga jarak lima kilometer dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE