fbpx

Imigresen serbu pusat hiburan tawar GRO warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara wanita warga asing yang ditahan JIM dalam serbuan ke atas sebuah premis pusat hiburan di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor awal pagi tadi.

PUTRAJAYA – Tindakan sebuah pusat hiburan menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) dan perkhidmatan seks dengan kadar bayaran RM1,000 hingga RM1,500 akhirnya mengundang padah apabila premis tersebut diserbu Jabatan Imigresen (JIM) awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan ke atas premis di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor itu dilakukan sepasukan 27 orang Pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya pada pukul 1 pagi tadi.

“Operasi berkenaan merupakan rentetan daripada hasil maklumat soal siasat tangkapan sindiket membekal tukang urut warganegara Thailand yang ditumpaskan pada 21 Julai yang lalu.

“Dalam serbuan di pusat hiburan ini, seramai 150 individu telah diperiksa dan hasilnya seramai 50 orang yang terdiri daripada warga asing dan tempatan berusia 24 hingga 35 tahun telah ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, mereka yang ditahan terdiri daripada 43 wanita warganegara Thailand, seorang wanita warganegara Laos, dua lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warganegara Pakistan.

“Turut ditahan, tiga warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan dan mereka kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

“Soal siasat yang dilakukan mendapati wanita warga asing yang ditahan disyaki berperanan sebagai GRO manakala lelaki warga asing pula sebagai pekerja am di pusat hiburan tersebut,” ujar beliau.

Menurut Khairul Dzaimee, modus operandi pusat hiburan tersebut adalah menawarkan kalungan bunga kepada pelanggan untuk dipakaikan kepada pelayan yang mereka kehendaki dengan bayaran dikenakan di antara RM200 hingga RM300 bagi setiap kalungan.

“Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada pelayan pula, bayaran yang dikenakan adalah di antara RM1000 ke RM1500 untuk satu malam.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa orang wanita warga asing cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pegawai operasi dan ada juga pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat namun situasi berjaya dikawal dan ditenteramkan,” katanya.

Tambah beliau, semakan awal mendapati wanita-wanita warga asing itu memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong, dan mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan bagi tujuan melancong namun telah menyalahgunakannya.

“Pasukan serbuan turut merampas sebanyak 50 keping pasport pelbagai warganegara dan kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk siasatan selanjutnya.

“Kesemua mereka yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala tiga orang warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen,” tegas beliau.

Tambah Khairul Dzaimee, JIM akan terus memburu saki-baki warga asing yang terlibat dalam rangkaian sindiket berkenaan dan akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan khususnya di pintu-pintu masuk di sebelah Utara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI