MANCHESTER – Penjaga gol baharu Nottingham Forest, Dean Henderson nyata tidak lagi dapat membendung rasa kecewa terhadap bekas kelabnya, Manchester United sehingga melabel kelab itu sebagai penipu besar.
Selepas melengkapkan proses pinjaman ke Nottingham Forest, Henderson turut akui yang dia cukup berang apabila United langsung tidak memenuhi janji yang diberikan kepadanya untuk mengisi slot sebagai pilihan utama bagi menggantikan David de Gea.
“Untuk bercakap jujur, ia mungkin menjadi tempoh 12 bulan yang paling sukar dalam karier saya dan saya begitu gembira apabila dapat keluar daripada situasi itu. Sejak perbincangan, selepas pulang dari Euro, saya akan kembali ke United sebagai penjaga gol nombor satu.
“Selepas itu, saya dijangkiti Covid-19 dan tiada seorang pun membuat tindakan mengenai apa yang mereka janjikan kepada saya. Saya begitu kecewa.
“Sepanjang berada di sana selama 12 bulan, memang sesuatu yang merugikan dan ia satu jenayah,” katanya.
Musim lalu, penjaga gol dari Sepanyol, David de Gea membuat 46 penampilan dalam semua pertandingan dan Henderson hanya mampu tampil tiga kali pada aksi Piala FA, Piala Liga Inggeris dan Liga Juara-Juara.
Henderson juga mengakui yang dia enggan bercakap atau turun berlatih di bawah pengendali baharu, Erik ten Hag kerana mahu memastikan penghijrahan ke Nottingham Forest dicapai. – AGENSI