fbpx

Nak bagi nasihat tapi biadab, Elyana ajak netizen bersemuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENGGAN kesal dengan tindakan segelintir netizen yang gemar menuduhnya meraih simpati atas penyakit kanser yang dihidapinya selama ini.

PETALING JAYA – Penyanyi Elyana kesal selepas menerima komen biadab daripada netizen yang menuduhnya cuba meraih simpati selain mencari publisiti murahan berkaitan penyakit kanser limfoma yang dihidapinya.

Elyana atau nama lengkapnya Erneelya Elyana Emrizal, 35, mengakui dia membuat satu keputusan yang salah apabila mendedahkan perihal penyakit yang hampir meragut nyawanya itu kepada pengetahuan umum.

Menerusi pendedahan yang dibuat dalam InstaStory miliknya, pelantun lagu Niat itu memberitahu dia mengambil masa selama lapan tahun sebelum mendedahkan derita yang ditanggungnya kerana takut dengan persepsi masyarakat yang akan menganggap dia cuba meraih simpati.

“Cari simpati? Ayat paling pantang telinga aku dengar. Inilah sebab kenapa aku ambil masa lapan tahun untuk tidak memberitahu masyarakat yang aku sakit. Sebab tidak ada gunanya pun.

“Aku buat keputusan yang salah. Terima kasih rakyat Malaysia yang tinggi ilmu agama. Bab komen pasal agama nombor satu. Solat lima waktu jangan tinggal pula,” tulisnya.

Dalam pada itu, Elyana turut kesal dengan sikap segelintir netizen apabila niat mereka untuk sekadar menegur akhirnya menyimpang jauh sehingga sanggup meninggalkan komen biadab yang mengguris hatinya.

Berkongsi antara komen yang ditinggalkan seorang netizen, Elyana terbuka hati apabila ditegur tentang auratnya, namun tersentak apabila akhirnya diperli dan dituduh meraih simpati orang lain.

“Esok bila dah mula lupa dan langgar apa yang dilarang (ditegah), Allah SWT bagi semula penyakit mungkin lagi teruk.

“Masa itu nanti jangan bising dan muat naik hantaran mohon doa dan kasihan pada orang. Menyampah dah, silap sendiri juga,” kata netizen tersebut.

Enggan berdiam diri, Elyana yang selama ini hanya mendiamkan diri ketika dihina kemudian membalas komen tersebut dengan menyifatkan netizen itu sebagai biadab.

Malah Elyana turut mengajak individu itu untuk bersemuka dengannya jika betul-betul mahu memberikan nasihat.

“Mungkin dulu saya tidak suka menjawab. Tapi itu tidak adil untuk diri saya yang sering dihina dan dipijak. Apa jenis manusiakah anda?

“Niat mahu beri nasihat, tapi biadab. Mari sini jumpa depan-depan berani tak?” kata Elyana yang baru sahaja melancarkan saluran YouTube miliknya, Aku Elyana beberapa hari lalu.

Terdahulu, Elyana baru-baru ini mengakui penat hidup berpura-pura kuat seperti yang sering dilihat umum selama ini.

Elyana berkata, dia juga bukanlah seorang insan yang sesuai dijadikan contoh oleh masyarakat terutama dalam berdepan ujian menghadapi penyakit kanser seperti sebelumnya.

“Selama ini orang anggap saya kuat, tapi sebenarnya tidak. Selama ini saya hanya berlakon menjadi kuat meskipun berpijak di bumi nyata, saya tidak kuat pun.

“Kepakaran saya ialah berlakon, jadi saya tunjuk kuat dan bahagia, namun sejujurnya saya tidak kuat,” katanya.

Sekadar info, membuat pendedahan mengenai kanser limfoma tahap empat dihidapinya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.

Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah, 11, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI