SEPANG – Tindakan licik satu sindiket menawarkan peluang pekerjaan sebagai jurujual produk tidak wujud secara online sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM843,996 tidak berpanjangan setelah diserbu pihak polis Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, serbuan di sebuah pangsapuri di Cyberjaya itu turut membawa kepada penahanan lima suspek berusia 17 hingga 31 tahun yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki warga Thailand.
“Sindiket dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu dengan menyasarkan pelajar lepasan universiti dan menawarkan peluang pekerjaan sebagai jurujual produk secara online dengan gaji lumayan juga komisen 10 peratus bagi setiap transaksi jualan.
“Mangsa kemudian akan ditugaskan untuk mencari pelanggan dengan menawarkan produk yang tidak wujud manakala, transaksi bayaran pula menggunakan akaun keldai atau ‘mule account’,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.
Dalam serbuan tersebut pihak polis turut berjaya merampas beberapa peralatan elektronik yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan mereka antaranya lima buah komputer riba dan lima buah telefon pintar.
Menurut Wan Kamarul, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila mangsa mendakwa tidak dibayar komisen selepas tiga kali transaksi jualan malah, pelanggan juga melaporkan tidak menerima produk berkenaan.
“Sebanyak 31 laporan polis telah diterima membabitkan mangsa juga pelanggan dari seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut yang dijalan juga mendapati sindiket ini turut menggunakan sebanyak 22 akaun keldai bagi memindahkan transaksi jualan produk tidak wujud itu,” ujar beliau.
Tambah Wan Kamarul, kesemua suspek telah direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan dan pihak polis kini dalam proses membekukan akuan keldai berkenaan dan pemilik akaun juga akan dipanggil untuk memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE