KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 11 Ogos bagi keputusan permohonan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli untuk membatalkan pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah bagi sebuah projek, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas mahkamah selesai mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak hari ini.
Terdahulu peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman ketika berhujah, bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya adalah berniat jahat, bersifat penindasan, penyalahgunaan proses mahkamah serta berunsur politik.
“Pemohon selanjutnya menghujahkan bahawa pertuduhan yang dikenakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan.
“Selain itu fakta jelas menunjukkan pemohon tidak pernah sama sekali mempengaruhi apa-apa keputusan Lembaga Pengarah Pelabuhan Labuan (LPL) terhadap syarikat Labuan Liberty Port Mangement Sdn. Bhd. (LLPM) yang mana tidak wujud elemen pertuduhan di bawah Seksyen 23 akta SPRM 2009,” kata peguam itu.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd. Azmi pula berhujah pertuduhan yang dikenakan terhadap permohon adalah terang dan jelas.
“Pihak pendakwaan menghujahkan tiada bukti pertuduhan yang dikenakan terhadap permohon mala fide (berniat jahat) selain pertuduhan berdasarkan bukti dan bukan disebabkan politik,” kata Ahmad Feisal.
Pada 14 Oktober 2021, Rozman, 58, yang ketika itu merupakan Ketua Whip Warisan, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.
Suapan itu ialah kontrak pekerjaan sebagai Operator Damaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Sebelum ini pada 2 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi berlainan telah memutuskan Rozman kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan Rozman agar kes di Mahkamah Sesyen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Perbicaraan dijadualkan didengar di hadapan Hakim Rozina Ayob pada 11 dan 12 Ogos ini selepas mahkamah menolak permohonan beliau agar prosiding ditangguhkan.
Dalam penghakimannya Hakim Muhammad Jamil berpendapat, meskipun Rozman mempunyai kedudukan sebagai Ahli Parlimen, status itu tidak mewajarkan perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi walaupun beliau menyatakan kes itu menjadi tumpuan umum dan mendapat laporan media.
Mahkamah berpendirian, bukan menjadi undang-undang bahawa tertuduh yang berkedudukan sebagai Ahli Parlimen, maka perbicaraan harus didengar di Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE