JAKARTA – Selepas hangat dikatakan berkahwin dengan lelaki asal Dubai, pelakon terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella sekali lagi menarik perhatian peminat apabila mengumumkan mahu bersara daripada dunia seni hiburan.
Memetik laporan portal hiburan seberang, aktres berusia 34 itu memberitahu, sudah lama sebenarnya dia berniat untuk berhenti daripada dunia seni, sebagai pelakon, khususnya.
Dia juga memohon doa daripada peminat agar terus berjaya dalam hidup.
“Mohon doakan saya. Insya-Allah tiada filem lagi (berhenti berlakon). Semoga istiqamah. Kali terakhir saya berlakon menerusi filem Buya Hamka (2021).
“Saya sudah lama memasang niat untuk bersara, tapi manusia itu lemah. Semoga saya dibantu oleh Allah SWT,” katanya.
Alasan Laudya, dia nekad berhenti daripada berlakon kerana mahu berjaya bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat.
“Masih banyak yang perlu saya pelajari dan lalui selepas ini. Mohon segalanya dipermudahkan,” ujarnya.
Beberapa hari lalu, tular dalam aplikasi TikTok sebuah video pernikahan yang didakwa majlis antara Laudya dengan seorang jejaka dari Dubai.
Dalam video tersebut, kelihatan seorang lelaki berjubah dan memakai serban sementara pengantin perempuan pula anggun memakai gaun kembang berwarna putih.
Bagaimanapun, wajah kedua-dua mempelai tidak dipaparkan secara jelas.
Disebabkan hal tersebut, ramai yang mempersoalkan kesahihan pernikahan Laudya dan mendakwa video tersebut sebagai palsu.
Pengurus Laudya dikenali sebagai Rita kemudiannya tampil menafikan khabar angin yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu dan memaklumkan pelakon itu masih solo.
“Saya minta maaf kerana berita ini sangat tidak benar. Semoga kita semua terhindar daripada fitnah,” katanya ringkas.
Terdahulu, pelakon yang terkenal menerusi filem Surga Yang Tak Dirindukan itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang juga bekas suami aktres Erra Fazira pada September 2017, tetapi bercerai pada Julai 2020. – KOSMO! ONLINE