LUMUT – Seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu melanggar tiang lampu di Jalan Kampung Sitiawan-Lumut, ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, pelajar lelaki berusia 15 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota tubuh lain.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Deralik ke sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam di Sitiawan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, penunggang motosikal jenis SM Sport 110 itu telah hilang kawalan dan terbabas sendiri sebelum terlanggar tiang lampu.
“Akibat daripada terbabas dan melanggar tiang lampu itu, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian yang disahkan oleh Penolong Pembantu perubatan Hospital Seri Manjung,” katanya dalam satu hari ini.
Menurut Nor Omar, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE