PETALING JAYA – Penyanyi Shila Amzah menitipkan nasihat agar golongan wanita di luar sana berhati-hati dengan lelaki yang bersifat panas baran serta pemarah.
Menerusi perkongsian dalam InstaStory, Shila membalas pertanyaan pengikutnya mengenai ciri-ciri lelaki yang dianggap red flag (bahaya) dalam sebuah perhubungan.
“Saya tidak suka lelaki panas baran, kaki maki dan pukul serta langsung tidak mempunyai common sense (masuk akal),” tulisnya.
Jawapan spontan pelantun lagu Patah Seribu itu mendapat sokongan daripada netizen yang turut mengakui trauma sekiranya berdepan dengan lelaki panas baran dan kaki pukul.
Dalam perkongsian berbeza, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 32, mengakui dia turut pernah berdepan dalam situasi sama yang mana lelaki yang dikenalinya itu nampak romantik tetapi sebenarnya ibarat jauh panggang dari api.
“Pernah melaluinya, memang seram.
“Mereka ini memang nampak romantis, manis. Memang bahaya, anda semua perlu berhati-hati,” jawabnya lagi.
Terdahulu, Shila yang merupakan anak kepada penyanyi dan komposer, Datuk ND Lala mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 namun disahkan bercerai Februari baru-baru ini.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Seth Uwais yang kini berusia setahun. – KOSMO! ONLINE