JARINGAN Sean Selvaraj ketika membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) menewaskan Selangor FC 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ahad lalu telah mendapat perhatian daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menerusi ciapan laman sosial Twitter badan induk itu kelmarin, FIFA menyenaraikan gol Selvaraj sebagai salah satu daripada tiga jaringan terbaik sepanjang minggu ini dan dianggap layak untuk diangkat sebagai penerima Anugerah Puskas.
“Kami mulakan minggu ini dengan beberapa ‘Monday Magic’. Bolehkah beberapa gol ini menjadi pesaing #Puskas?,” menurut ciapan FIFA yang turut memuat naik video jaringan Selvaraj.
Sebelum itu, jaringan berkenaan sudah menarik minat beberapa laman media bola sepak antarabangsa, malah peminat tempatan juga menzahirkan keterujaan untuk melihat seorang lagi wakil negara memenangi Anugerah Puskas.
Sebelum ini, pemain Penang FC, Faiz Subri mencipta sejarah bola sepak negara dan Asia Tenggara apabila jaringannya menerusi sepakan percuma diangkat sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016.
“Satu gol yang istimewa kerana ia membantu pasukan saya menang tetapi secara peribadi, satu jaringan yang penuh bermakna. Bagi rakan-rakan yang berlatih dengan saya, mungkin sudah ketahui kemampuan saya untuk menjaringkan gol sebegini.
“Memang niat saya untuk menjaringkan gol dari kedudukan tersebut dan saya sangat gembira ia berjaya dilaksanakan,” kata Selvaraj yang dipetik menerusi laporan aplikasi Shoot!.