fbpx

Kembalinya lawak ‘bodoh’, slapstik Mr. Bean

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WATAK Trevor Bingley lakonan Rowan Atkinson diberi tanggungjawab menjaga sebuah rumah mewah semasa ketiadaan pemiliknya, namun lain yang terjadi, termasuk mendapat satu keberuntungan hasl huru-hara dek seekor lebah.

PERASAAN yang pada mulanya tidak bercadang menghabiskan tontonan siri terbaharu Netflix lakonan pelawak tersohor Britain, Rowan Atkinson berjudul Man vs. Bee tempoh hari bagaimanapun berubah.

Masakan tidak, setiap episod hanya berdurasi sekitar 10 minit dan faktor tersebut mudah mengundang selera sesiapa sahaja untuk menamatkan tontonan siri arahan sutradara, David Kerr itu.

Barangkali, ramai yang merasakan supremasi atau zaman kegemilangan Atkinson yang terkenal menerusi karakter Mr. Bean sudah berlalu, namun ternyata, lelaki berusia 67 tahun itu masih bersengat dan tidak mati idea.

Slapstik, hambar berkualiti

Menerusi Man vs. Bee, Atkinson membuktikan, komedi atau lawak slapstik atau riawara hambar cernaannya masih relevan dan tidak jemu ditonton audiens. Ulanglah berapa banyak kali, kalau sudah namanya Mr. Bean, orang tidak punya perasaan pun akan tertawa.

Man vs. Bee terkandung banyak kualiti yang mudah membuatkan audiens terpikat.

Selain jalan cerita atau plot yang mudah difahami, aspek teknikal lain seperti sinematografi dan efek bunyi juga membuatkan siri berkenaan berbeza daripada lambakan siri atau karya yang tersedia dalam Netflix.

Pertama sekali, dari segi lakonan, Atkinson sememangnya tiada tolak bandingan. Bentuk komedinya kekal segar sehingga ke hari ini dan itu juga dipaparkan Man vs. Bee.

Sebagai individu yang dibesarkan dengan terjemahan lawak slapstiknya, apa yang ditonjolkan kali ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan untuk melihat aksi ‘Mr. Bean’ era sekarang.

Melihat semula pelawak itu ketika ini membawa satu nostalgia terhadap siri Mr. Bean satu ketika dahulu.

Dahulu, kita tonton Mr. Bean ketika hidung masih berhingus atau di bangku persekolahan, sekarang kita tonton komedi Atkinson dengan peranan sebagai orang dewasa atau sudah berkeluarga

Signatur komedi Mr. Bean

Atkinson tidak tersasar langsung daripada signatur komedinya lantas membuatkan Man vs. Bee seronok dinikmati. Durasi pendek setiap episod ternyata satu pendekatan atau percaturan berbaloi membuatkan penonton terus ‘melekat’ dan menghabiskan tontonan.

Selain Atkinson yang beraksi cemerlang, penulis juga sukar untuk ‘move on’ dengan karakter yang dijayakan seekor anjing bernama Cupcake. Tak pasti bagaimana haiwan itu dilatih, namun penampilannya dalam siri berkenaan sangat berimpak sehingga menenggelamkan si lebah yang sememangnya dicipta untuk mengganggu keamanan hidup karakter Trevor Bingley (Rowan Atkinson).

Runut bunyi yang dibangunkan Lorne Balfe sebanyak 20 trek juga tidak mengecewakan bahkan mampu meredakan kegusaran dalam hati mana-mana pendengar.

Keseluruhannya, Man vs. Bee membuktikan Rowan Atkinson masih berbisa dengan komedinya.

Dia masih terpaling dungu dan pada masa sama berada pada kelas tersendiri serta cocok diletakkan atau dilekatkan status legenda komedi dunia, dialah living legend.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI