CHERAS – Kehidupan sebuah keluarga sembilan beranak berubah sekelip mata apabila suri rumah, Norazilah Nordin menghidap strok pada Februari lalu.
Keadaan itu membuatkan suaminya, Mohamad Azahari Hassan, 51, terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan isterinya itu serta tiga orang anak yang masih bersekolah.
Mohamad Azahari berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila dia menerima panggilan daripada jiran yang juga saudara dekat mengatakan bahawa Norazilah, 41, sudah tenat.
“Pada hari kejadian, isteri saya mengadu sakit dada, tetapi kami tidak pergi ke hospital kerana dia kata masih boleh bertahan.
“Tidak lama selepas itu, saya yang ketika itu berada di luar kawasan menerima panggilan daripada sepupu isteri mengatakan dia sudah dalam keadaan tenat.
“Saya terus bergegas pulang dan menghubungi ambulans, namun atas ihsan jiran dan saudara, mereka telah menghantar isteri saya ke hospital kerana keadaannya makin teruk sebelum disahkan diserang strok,” katanya di rumahnya di Jalan Cecawi 2, Batu 10 di sini baru-baru ini.
Mohamad Azahari berkata, meskipun diuji dugaan besar, dia bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk menjaga isterinya walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
“Saya sudah berhenti kerja memandu lori dan sekarang hanya bekerja sendiri kerana tidak boleh tinggalkan isteri. Lagipun ada seorang lagi anak bongsu berusia tiga tahun yang perlu dijaga.
“Ketika ini, pendapatan saya dianggarkan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menyara lapan orang anak serta isteri yang sakit,” ujarnya.
Atas keprihatinan pihak zakat, Mohamad Azahari turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM650 termasuk bantuan perubatan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh membuat sumbangan menerusi akaun bank BSN 1415441100021203 atas nama Mohamad Azahari Hassan atau menghubunginya di talian 016-456 4671.