fbpx

Banjir Johor: Tak sampai setahun, 10 kali air naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lala menjemur tilam dan pakaian yang basah hari ini akibat banjir kilat di Kampung Mohd Amin, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Dalam masa tidak sampai setahun, penduduk Kampung Mohd Amin, di sini mendakwa sudah berlaku 10 kejadian banjir kilat termasuk semalam yang menyebabkan kediaman mereka dinaiki air hingga ke paras pinggang.

Penduduk Kampung Mohd Amin, Noor Eziani Fauzi, 36, berkata, hujan lebat yang turun bermula pukul 11 pagi selama sejam menyebabkan air banjir kilat mula memasuki rumah mereka.

Noor Eziani membersihkan rumahnya hari ini yang dinaiki air akibat banjir kilat di Kampung Mohd Amin, Johor Bahru semalam.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia bersama suami, Mohd. Shahril Jamian, 40, panik dan cepat-cepat memindahkan perabot dan barangan elektrik ke rumah kakaknya yang terletak di tingkat atas.

“Sejak Oktober lalu, sudah 10 kali banjir kilat berlaku di kampung ini. Kami di sini amat risau setiap kali hujan lebat berterusan kerana khuatir banjir kilat berulang semula,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Noor Eziani berkata, cuaca mendung dan hujan sejak pagi tadi menimbulkan kerisauan buatnya sekeluarga jika berlaku banjir kilat sekali lagi setelah ramalan cuaca buruk dijangka berterusan sehingga esok.

Tinjauan yang dilakukan di kawasan kampung berkenaan mendapati penduduk sedang sibuk membersihkan rumah selain membuang perabot dan tilam yang rosak ditenggelami air banjir.

Semalam, hujan lebat dengan kadar intensiti hampir 100 milimeter (mm) bermula tengah hari semalam, serta air pasang tinggi dengan ketinggian 3.3 meter dilaporkan menjadi faktor beberapa lokasi di pusat bandar raya ini terjejas akibat banjir kilat.

Selain Kampung Mohd Amin, turut terkesan banjir kilat ialah di Jalan Ayer Molek, turut berlaku banjir kilat adalah Jalan Yahya Awal, Jalan Mahmoodiah, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Kolam Ayer dan Jalan Tun Abdul Razak.

Dianggarkan hampir 500 kenderaan terjejas akibat banjir kilat yang melanda bandar raya Johor Bahru pada pukul 1.30 petang setelah lebih sejam hujan lebat.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Lala, 39, berkata, Sungai Chat yang semakin cetek menyebabkan kejadian banjir kilat semakin kerap melanda kampung tersebut.

Tambahnya, keadaan parit di kawasan kampung itu juga sudah lama tidak diselenggara turut menjadi faktor penyumbang banjir kilat setelah sistem pengairan tidak berfungsi dengan baik. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI