Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu pelbagai benda wajib yang perlu disediakan di rumah.
Sebagai contohnya tablet, telefon pintar dan internet. Ia sebenarnya bagi memudahkan pembelajaran anak-anak ketika tidak ke sekolah sebaliknya menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sekarang ini penulis merasakan satu lagi benda wajib yang ada perlu ada di rumah adalah komputer dan pencetak.
Ketika PdPR terlalu banyak kerja rumah yang diberikan guru-guru yang perlu dicetak terlebih dahulu dan digunakan untuk pembelajaran PdPR. Jika tidak dicetak anak-anak akan terpinga-pinja ketika belajar.
Ada juga sekolah yang menyediakan kertas latihan bercetak dan ibu bapa perlu mengambilnya pondok pengawal.
Sekarang ini setelah pembelajaran bersemuka di sekolah lain kisahnya, hampir sama apabila banyak latihan dan kerja amali yang perlu dicetak.
Contohnya, ketika ini sepanjang minggu diadakan Karnival Panitia di sebuah sekolah.
Sepanjang minggu itu, bagi setiap mata pelajaran ada pelbagai aktiviti menarik diadakan untuk mendatangkan minat belajar kepada murid-murid.
Namun, kebanyakan aktiviti itu perlu dicetak di rumah terlebih dahulu dan dibawa ke sekolah untuk kerja berkumpulan dan individu.
Bahan lain adalah straw, kertas warna, barang hiasan, pen magic dan sebagainya.
Agak tertekan juga ibu bapa yang ada anak ramai, mesti tidak menang tangan hendak cetak bahan untuk Karnival Panitia itu. Bukan sehelai tetapi banyak helai serta banyak mata pelajaran setiap hari.
Penulis bersyukur di rumah lengkap dengan bahan-bahan PdPR tetapi pernah berfikir macam mana dengan keluarga yang tidak mampu hendak sediakan bahan bercetak ini.
Anak penulis pernah bercerita, ada kawannya tidak bawa apa-apa bahan pun pada minggu itu.
“Kalau dia tidak bawa kertas print (cetak) cikgu suruh, jadi dia buat apa masa cikgu suruh tampal-tampal,” tanya penulis kepada anak.
Jawab anak, “dia (kawan) duduk diam saja.”
Mendengar jawapan itu rasa luluh pula hati penulis terdetik dalam hati mesti murid itu dalam kalangan yang tidak berkemampuan.
Berdekatan rumah penulis ada kedai fotokopi, memang penuh ibu bapa sekarang ini sehingga kedai berkenaan terpaksa tutup lambat.