KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tindakan menyemak semula Garis Panduan Industri Kecantikan yang dikeluarkan pada tahun 2013.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu bagi memastikan apa yang ditawarkan pihak industri kecantikan kepada pengguna adalah benar, selamat dan mampu ditunaikan.
“Oleh kerana ia tidak dikawal selia, banyak aduan kita terima daripada pengguna. Sebagai contoh terdapat kes syarikat berjanji tumbuhkan rambut tetapi selepas rawatan tidak berjaya.
“Sebagai contoh rawatan invasif seperti penggunaan laser, botox dan sebagainya. Banyak kes hendak besarkan payudara, namun akhirnya kesan amat berbahaya kepada pengguna.
“Sebab itu kita bergerak ke arah untuk pastikan ia dikawal selia bagi beri jaminan kepada pengguna dan dalam masa tidak jejaskan industri yang cukup pesat ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO Tuaran adakah KPNHEP bercadang untuk mengiktiraf Persatuan Pakar Estetik Bertauliah Antarabangsa (AICA) mengawal selia sendiri industri kecantikan di negara ini. – KOSMO! ONLINE