fbpx

Bekas suami enggan beri duit pengasuh, rupanya kahwin baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan.

PETALING JAYA – Kedekut sungguh seorang bekas suami apabila enggan memberikan wang tambahan diminta bekas isteri untuk menghantar empat anak kecil di bawah jagaan pengasuh.

Permintaan wang tambahan itu kerana bekas isteri mahu menghadiri sesi temu duga kerja bagi mencari pendapatan meneruskan kehidupan, namun akhirnya dia terpaksa melepaskan peluang tersebut.

Tidak lama selepas itu, wanita tersebut mendapat perkhabaran rupa-rupanya bekas suami berkahwin baharu.

Kisah itu diceritakan oleh peguam syarie, Nurul Izzah Zainol menerusi media sosialnya berhubung kepayahan hidup salah seorang anak guamnya selepas bercerai dengan bekas suami.

“Saya masih ingat wanita muda anak empat ini, jauh merantau dari Sabah dan bertemu jodoh di sini. Dia seorang graduan sarjana muda dan menjadi suri rumah sepenuh masa, tidak bekerja kerana suami tidak izin dan minta jaga anak-anak sendiri.

“Bila bercerai, diminta keluar rumah suaminya dengan empat anak. Menyewa di luar ditanggung sendiri dan dia tidak tahu, dia berhak kepada nafkah iddah. Dia tidak tahu yang dalam undang-undang bila bercerai, suami yang kena keluar rumah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, wanita tersebut mula mencari pekerjaan tetapi sukar disebabkan empat anak masih kecil di bawah jagaannya.

“Satu hari dia dapat tawaran temu duga dan minta duit tambahan daripada bekas suami untuk letak anak-anak pada pengasuh.

“Tapi bekas suami tidak bagi dan dia tidak pergi temu duga serta terlepas peluang pekerjaan. Duit simpanan sendiri tiada sebab tidak pernah kerja.

“Kemudian dua hari lepas, bekas suami menikah baharu, isteri baharu dan hidup baharu. Bekas isteri pula masih susah payah dengan kesempitan hidup, dilema cari kerja yang sesuai dengan hendak besarkan anak-anak seorang diri dan jauh pula daripada keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI