PETALING JAYA – Sebanyak 76 peratus rakyat negara ini tidak bersetuju dengan Dasar Penamat Generasi (GEG) yang dikuatkuasakan kepada individu yang lahir selepas 2007.
Keputusan itu diperoleh daripada satu tinjauan yang dikendalikan oleh Advokasi dan Jenama Dagangan Cawangan Malaysia (RTBA) melalui lapangan maklum balas yang diterimanya daripada 318 orang.
Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin berkata, pelbagai pertikaian berhubung larangan tersebut daripada responden kerana mereka menganggap larangan tersebut terlalu keras dan akan menghukum orang dewasa kerana merokok.
Menurut beliau, sebanyak 67 peratus daripada responden menyatakan bahawa larangan tersebut akan melanggar hak individu, manakala 67 peratus yang lain pula berkata, dasar itu sukar dilaksanakan di negara ini.
“Sebahagian daripada mereka (88 peratus) percaya dasar tersebut akan berkesan jika kerajaan melarang orang ramai daripada menghisap produk haram yang murah dan 63 peratus menyatakan bahawa pendidikan adalah kunci untuk mengurangkan merokok,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Kaji selidik itu dilaksanakan bertujuan untuk mengumpulkan pandangan berbeza rakyat mengenai Rang Undang-undang itu kerana ia akan memberi kesan kepada semua rakyat tidak kira sama ada mereka merokok atau tidak.
Melalui kaji selidik tersebut, pasukan RTBA Malaysia telah mendekati orang dewasa yang bekerja, anak muda dan juga individu yang mempunyai anak.
Secara keseluruhannya, responden menghargai usaha kerajaan untuk mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia, tetapi mereka bimbang sekiranya larangan tersebut mungkin tidak produktif.
“RTBA Malaysia menyuarakan sentimen yang dikongsi oleh responden.
“Kami menyokong sebarang inisiatif yang memacu negara ke hadapan, namun larangan terutamanya yang begitu sukar, tidak akan memacu apa-apa kemajuan,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE