PUTRAJAYA – Dua individu masing-masing merupakan bekas pengarah dan pegawai kanan sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu.
Kedua-dua mereka dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM175,000 selain meminta wang suapan berjumlah hampir RM60,000 daripada pihak kontraktor.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 44 hingga 50 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah hari ini pukul 12.30 tengahari ketika hadir memberi keterangan.
“Kedua-dua suspek telah menggunakan lesen beberapa syarikat bagi melakukan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman berjumlah lebih RM175,000 namun tiada pembekalan mahupun program dilaksanakan oleh pihak terbabit.
“Dalam pada itu, bekas pengarah tersebut juga dipercayai menerima bayaran secara bulanan lebih RM60,000 daripada seorang kontraktor dalam tempoh 2017 hingga 2019,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 18 Akta SPRM 2009 .
Tambah beliau, tangkapan itu merupakan hasil kerjasama di antara SPRM Sabah dan Unit Integriti agensi kerajaan berkenaan.
“Kedua-dua suspek tersebut akan di bawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah esok (Rabu) bagi tujuan permohonan reman,” katanya. – KOSMO! ONLINE