fbpx

Perjanjian hitam putih elak kena ‘scam haji’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN bakal jemaah yang terkandas di KLIA, Sepang baru-baru ini.
NOR AZIHAN MD GHAZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SEMAKIN hari makin ramai mangsa yang tampil membuat laporan polis selepas insiden kira-kira 380 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dipercayai menjadi mangsa ‘scam haji’ baru-baru ini.

Lebih menyedihkan apabila ada di antara bakal jemaah itu sanggup menggadaikan kebun mereka demi mendapatkan wang untuk ke Tanah Suci menggunakan visa furada.

Malah ada juga yang sanggup mengeluarkan duit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tidak kurang juga menggunakan wang simpanan yang dikumpul seumur hidup untuk menunaikan ibadah haji.

Insiden penipuan ini bukan hanya melibatkan orang awam, bahkan beberapa pegawai kanan polis berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) yang turut menjadi mangsa penipuan.

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, berdasarkan rekod setakat 31 Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima sebanyak 132 laporan daripada mangsa membabitkan kerugian RM5.67 juta.

“Berdasarkan rekod PDRM, seramai 336 mangsa sudah tampil membuat laporan di 11 negeri bagi tempoh tersebut.

“Laporan tertinggi yang dite­rima PDRM adalah di Kuala Lumpur iaitu sebanyak 52 laporan melibatkan kerugian RM2.32 juta.

“Selangor pula sebanyak 33 laporan de­ngan kerugian RM966,100 dan Pahang 18 laporan membabitkan nilai kerugian RM1.25 juta,” ujarnya.

Justeru itu, Presiden Persa­tuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang me­minta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan agar segera tampil membuat laporan polis serta mengemukakan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.

“Sebelum membeli sesuatu pakej, orang ramai perlu memastikan kesahihan sesebuah syarikat termasuk mengkaji lawatan, rekod serta mendapatkan rujukan daripada rakan-rakan dan saudara-mara serta pihak berwajib mengenai latar belakang sesebuah syarikat itu.

“Jangan ambil mudah perkara ini dan perlu mengamalkan sikap berhati-hati sebelum bersetuju dengan sebarang pakej pelanco­ngan yang ditawarkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Penganalisis Jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim turut senada de­ngan meminta orang ramai yang mahu menunaikan haji agar mendapatkan pakej melalui Tabung Haji (TH) atau agensi pelanco­ngan yang bertauliah.

“Agensi tersebut perlu berdaftar serta mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelanco­ngan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan TH serta memiliki lesen haji serta umrah.

“Selain itu, pastikan pembayaran yang dibuat mempunyai perjanjian antara jemaah dan syarikat bagi membolehkan tindakan diambil jika berlaku penipuan di kemudian hari,” katanya.

Beliau turut menggesa agar TH memberi peluang kepada orang ramai khususnya yang belum pernah ke Mekah untuk menunaikan haji,” katanya.

Secara tuntasnya, orang ramai yang mahu menunaikan haji ja­ngan terlalu ghairah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Sebaliknya mereka perlu mengambil langkah keselamatan dengan menyiasat latar belakang sesebuah agensi pelancongan serta membuat perjanjian hitam putih bagi membolehkan tindakan diambil jika berlaku perkara yang tidak diingini kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI