fbpx

Robot bantu pembedahan penggantian sendi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. SUHAIL SURESH menunjukkan salah satu robot yang membantu pembedahan penggantian sendi atau joint replacement surgery di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.– SHIDDIEQIIN ZON

KESAKITAN yang dirasai pada bahagian lutut telah menyebabkan Azmi Itam, 67, menghadapi masalah untuk bergerak sehingga perlu menggunakan tongkat.

Malah, di dalam rumah juga, dirinya terpaksa menggunakan tongkat walaupun hanya untuk ke tandas.

Kesakitan yang dirasainya itu turut menyebabkan dirinya sukar untuk solat seperti biasa dan terpaksa menggunakan kerusi bagi menunaikan ibadah wajib tersebut.

“Kesakitan yang dirasakan ini telah menyebabkan diri saya sukar untuk bergerak dengan selesa.

“Keadaan itu menyebabkan saya lebih gemar untuk berada di rumah sahaja berbanding keluar untuk berjalan-jalan bersama keluarga,” luahnya kepada K2.

Azmi menjelaskan, dia pernah ke klinik bagi mendapatkan rawatan dan doktor yang merawat menyatakan bahawa kemungkinan dirinya berdepan masalah radang rawan sendi lutut.

“Masalah ini mungkin disebabkan sebelum ini saya memiliki berat badan yang berlebihan,” kongsinya.

Menurut Azmi, masalah yang dihadapinya juga dikenali sebagai osteoarthritis iaitu sejenis radang sendi yang mempengaruhi bahagian lapisan tulang rawan sendi lutut dan menyebabkan rasa sakit serta kesulitan untuk bergerak.

MASALAH artritis atau osteothritis yang lazimnya berlaku pada lutut seiring peningkatan usia boleh diatasi dengan pembedahan penggantian sendi.

Osteoarthritis merupakan salah satu masalah artritis atau radang sendi yang berlaku dalam tubuh manusia.

Seperti kebanyakan penyakit lain, risiko mendapat artritis akan meningkat seiring peningkatan usia. Bahkan, mereka yang berdepan masalah ini terutama pesakit osteoarthritis mengalami tahap keterbatasan pergerakan dalam kehidupan seharian.

Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Arthroplasti Pusat Perubatan Sunway, Dr. Chua Hwa Sen berkata, badan kita dicipta untuk bergerak.

Menurutnya, ketidakupayaan untuk bergerak bebas tanpa rasa sakit akan memberi kesan yang mendalam terhadap keadaan sosial, psikologi dan fizikal seseorang.

“Emosi kita juga akan terjejas apabila kita berasa kurang produktif dan tidak berdaya.

“Bagi saya, keupayaan untuk menjalani kehidupan dengan bebas adalah sangat penting dan apabila seseorang mengalami kesakitan dan kecacatan pada tulang, sendi atau otot, ia mengurangkan kualiti hidup seseorang,” katanya.

Dalam pada itu, penyelesaian terkini untuk memperbaiki masalah ini termasuk artritis dan osteothritis adalah dengan menjalani pembedahan penggantian sendi menyeluruh terutamanya pada bahagian seperti lutut dan pinggul.

Baru-baru ini, Pusat Perubatan Sunway dilaporkan telah menjadi pelopor pembedahan penggantian sendi robotik pertama di Malaysia serta melakar kejayaan melakukan pembedahan penggantian sendi dengan bantuan robot.

Anggota tubuh pesakit yang hendak dibedah akan diletakkan pada bahagian robot dan tangan robotik akan melakukan pembedahan dengan seliaan pakar bedah.

DR. HWA SEN (kanan) Dan Dr. Suhail Suresh.

Sebagai usaha menambah baik kaedah pembedahan penggantian sendi secara menyeluruh, pusat perubatan tersebut telah menggunakan dua sistem robotik termaju iaitu Mako SmartRobotics dan ROSA Knee System untuk melakukan prosedur tersebut.

Dua sistem robotik itu menyediakan model tiga dimensi (3D) hasil imbasan CT yang dibuat khusus ke atas pesakit bagi menggantikan pinggul atau lutut.

Ia sekali gus memudahkan pakar bedah untuk merancang prosedur lebih awal dan membolehkan perancangan saiz dan penjajaran implan yang tepat.

Sementara itu, Dr. Hwa Sen ketika ditemui pemberita pada pembentangan Nikmat Bergerak Bebas: Pembedahan Penggantian Sendi Robotik baru-baru ini menerangkan sistem baharu itu menjadi revolusi keupayaan unik untuk memberikan pesakit pengalaman pembedahan tersendiri serta disesuaikan dengan keperluan dan anatomi mereka.

“Dengan menggunakan teknologi ini, kami dapat memastikan penempatan implan yang lebih tepat dan melakukan pembedahan yang berjaya dengan kesan invasif minimum.

“Ini membolehkan pesakit kurang mengalami kesakitan selepas pembedahan dan berupaya untuk pulih dengan lebih cepat,” jelasnya.

Terang Dr. Hwa Sen, pembedahan boleh mengundang pelbagai risiko, namun pembedahan dengan bantuan robot membantu meminimumkan risiko memotong tulang secara berlebihan atau terkena struktur penting.

MELALUI inovasi terbaharu ini, maklumat kinematik sendi pesakit akan diberikan secara langsung sepanjang prosedur, sekali gus memastikan pembedahan berjalan selamat.

Biarpun menggunakan robot, sentuhan seseorang pakar dalam pembedahan itu tetap diperlukan.

“Pakar bedah adalah orang yang akan membimbing tangan robotik ke zon yang betul dan melakukan pembedahan tisu lembut kerana itu merupakan kepakaran kami.

“Kami menggunakan robot untuk memastikan ketepatan dan keselamatan pesakit,” jelas Dr. Hwa Sen.

Dalam pada itu, Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Artoplasti Pusat Perubatan Sunway, Dr. Suhail Suresh Abdullah menerangkan, sendi memainkan peranan penting dalam melakukan aktiviti seharian.

Menurutnya, apabila sendi bermasalah boleh mengehadkan keupayaan bergerak dengan selesa.

“Pembedahan penggantian sendi menyeluruh, terutamanya di bahagian seperti lutut dan pinggul mampu memberi kelegaan, memulihkan fungsi serta meningkatkan mobiliti keseluruhan seseorang.

“Pemotongan dan penjajaran yang tepat dalam penempatan implan adalah penting dalam pembedahan penggantian sendi,” katanya.

Jelasnya, pembedahan bagi masalah itu sebelum ini secara tradisinya dilakukan dengan menggunakan pelbagai instrumen seperti jig dan rod yang diletakkan di dalam tulang untuk membantu penjajaran.

Pakar bedah akan menggunakan kepakarannya untuk mengenal pasti masalah dan membetulkannya.

Namun kini, dengan bantuan robot sedikit sebanyak membantu dan memudahkan pakar untuk melaksanakan sesuatu pembedahan.

“Hari ini, kecerdasan buatan (AI) telah menjadikan pembedahan penggantian sendi lebih maju.Pembedahan penggantian sendi dengan bantuan robot membolehkan pakar bedah merancang pembedahan menggunakan data prapembedahan daripada imbasan CT dan X-ray serta membantu pakar bedah melihat dengan lebih jelas dan meminimumkan pemotongan,” jelas Dr. Suhail Suresh.

Semasa pembedahan, maklumat kinematik sendi pesakit akan diberikan secara langsung sepanjang prosedur dan sekali gus memastikan pembedahan berjalan dengan lebih selamat. Ia juga membantu menyeimbangkan sendi kepada penjajaran yang hampir sempurna.

Fungsinya hampir sama seperti sistem kedudukan global (GPS) kenderaan, iaitu membimbing pakar bedah memilih laluan terbaik semasa menjalankan prosedur pembedahan.

Dr. Suhail Suresh menambah, pembedahan dengan bantuan robot tersebut membolehkannya melakukan pembedahan secara lebih cepat dengan ketepatan lebih tinggi.

“Ini dapat mengelakkan kesilapan yang berpunca daripada pandangan mata kasar serta mengurangkan keletihan. Ia juga membolehkan pakar bedah merangka kerja mereka secara khusus mengikut keperluan pesakit sebelum pembedahan dan membolehkan pengesahan intraoperatif yang tepat diterjemahkan kepada jangka hayat implan itu,” terangnya.

Jelasnya lagi, secara umumnya tujuan penggantian sendi secara menyeluruh dilakukan bagi menambah baik kualiti hidup pesakit supaya mereka tidak lagi menderita kesakitan kala melangkah.

Kaedah pembedahan penggantian sendi dengan bantuan robotik ini juga membolehkan pesakit kurang parut, kehilangan darah yang minimum dan lebih cepat sembuh untuk kembali melakukan aktiviti harian mereka.

“Selain itu, dengan bantuan robotik ini juga dapat mengurangkan jumlah hari pesakit harus duduk di hospital. Seawal tiga atau empat hari pesakit sudah boleh balik ke rumah.

“Dalam masa yang sama pembedahan robotik ini juga membantu ketepatan dalam meletakkan peralatan penggantian sewaktu pembedahan dan sekali gus peralatan ini dapat bertahan untuk jangka masa panjang sehingga 30 tahun,” ulasnya.

Secara keseluruhannya, ia didakwa memberikan hasil selepas pembedahan yang lebih baik jika dibandingkan dengan pembedahan penggantian sendi konvensional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI