PETALING JAYA – Gara-gara meninggalkan komen mempertikaikan cara teguran seorang lelaki tentang aurat seorang wanita dalam sebuah video tular, pelakon Izara Aishah berdepan kecaman hebat dan dituduh berpihak kepada golongan atau perbuatan yang tidak sepatutnya.
Menerusi komen yang ditinggalkan dalam video tersebut, Izara, 30, memberitahu teguran seharusnya disampaikan dengan cara yang lebih privasi agar tidak menjatuhkan maruah pihak lain.
“Betul dia suruh jaga adab kerana lelaki tersebut ialah orang yang tidak dikenali.
“Sebagai seorang Muslim, lebih baik menegur secara privasi atau membisikkan hal tersebut kepada suami. Itu cara yang sah #kebenaran,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai kewajaran pandangan peribadinya, pemilik nama penuh Nik Izara Aishah Nik Izazurin itu memberitahu, sebetulnya, kaum wanita yang lebih layak memberika nasihat kepada sesama wanita.
“Mungkin ayat saya kurang jelas. Sebetulnya wanita menegur wanita dan jika bukan jantina yang sama, boleh tundukkan pandangan.
“‘Tak malu ke pakai macam ini?’. Adakah cara menegur begini yang anda banggakan? Setelah ‘menegur’ masih dipandang-pandang. Niat untuk mengisafkan atau memalukan?” katanya lagi.
Tidak berakhir di situ, pelakon filem Pilot Cafe itu dalam bebenang ciapan Twitter menjelaskan, nasihat atau teguran seharusnya disampaikan dengan cara yang betul tambahan pula suami wanita terbabit seorang mualaf.
Mengakui wanita beragama Islam tidak menutup aurat merupakan satu kesalahan, jelitawan yang mula berhijab sejak setahun lalu itu bagaimanapun mempertahankan prinsip memberikan teguran perlu dilakukan mengikut cara yang ditetapkan agama.
“Kalau nak tegur sangat, minta wanita yang daripada kenalan pak cik lakukan. Suami dia pula seorang mualaf dan dia marah kerana pak cik tidak menghormati isterinya, kasihan. Ada pula yang kata pak cik terima bisikan Alllah untuk menegur begitu, aduhai.
“Nak buat macam mana, bukan saya yang letak syarat sebegitu. Tegur secara terbuka dan individu adalah berlainan.
“Perempuan tidak menutup aurat memang salah tetapi sehina mana pun dia, kita yang hendak menegur perlu lakukan sesuatu yang menginsafkan,” jelasnya.
Pendekatan Izara untuk memperbetulkan persepsi bagaimanapun tidak boleh diterima segelintir pihak. Dia dikecam, disindir bahkan didakwa tidak menyokong niat murni individu yang ingin menegur demi kebaikan bersama.
“Izara ingat pak cik tu tegur guna mikrofon agaknya,” balas netizen.
“Terima saja dengan hati terbuka, nak melenting kenapa, bukannya pak cik itu melakukan jenayah,” bidas seorang lagi netizen.
Terdahulu, tular sebuah video seorang lelaki bukan Melayu menengking dan memarahi lelaki pertengahan usia kerana dikatakan menegur pakaian isterinya di sebuah lokasi awam.
Dalam video tersebut, suami wanita itu memberi amaran agar menegur isterinya dengan cara yang lebih beradab.
“Jaga adab itu abang. Abang tiada adab dengan isteri saya, saya juga tidak akan lakukan perkara sama terhadap abang. Ingat, dosa dia saya tanggung,” katanya kepada lelaki terbabit.
Video tersebut seterusnya meraih ribuan komen dan perdebatan ramai netizen. – KOSMO! ONLINE