fbpx

K2

Keyakinan model OKU Nadeera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN menghidap tulang rapuh, Nadeera sentiasa berasa yakin untuk tampil di depan kamera.

KEDUA-DUA anak mata penulis tertancap pada satu tubuh genit yang disorong seorang wanita awal 40-an menggunakan sebuah kerusi roda pada satu majlis di ibu negara baru-baru ini.
Pada mulanya, individu yang disorong itu disangkakan kanak-kanak perempuan, namun telahan itu meleset sama sekali.

Individu yang disorong itu ternyata seorang wanita dewasa berketurunan India yang dilahirkan dengan penyakit osteogenesis imperfecta (OI) atau lebih dikenali sebagai tulang rapuh tahap tiga.

Mendekati empunya diri, Nadeera K. Vasu kelihatan sangat positif dan ceria. Perwatakan ramahnya persis manusia biasa yang normal.

Senyuman manis tidak pernah lekang daripada bibirnya yang terukir buat sesiapa sahaja yang melihat dirinya.

“Saya dilahirkan tidak sama seperti manusia biasa yang normal. Saya dilahirkan dengan keadaan tulang yang rapuh, mempunyai masalah pernafasan serta sering dirujuk ke hospital.

“Semasa kanak-kanak, pihak sekolah juga sukar untuk menerima saya kerana mereka tidak mahu mengambil risiko sekiranya terjadi apa-apa kepada saya,” kata Nadeera, 28, ketika membuka bicara bersama K2.

Nadeera mula meraih perhatian apabila menjadi model orang kelainan upaya (OKU) yang membuat peragaan di pentas fesyen Malaysian Fashion Week Runway pada tahun 2018.

Dia juga menarik perhatian pemerhati fesyen dan pernah ditemu bual portal fesyen seperti Zalora.

PARA penonton memberikan tepukan semasa Nadeera beraksi di atas pentas fesyen.

Menurut wanita kelahiran Teluk Intan, Perak itu, dia sebenarnya mula jatuh cinta terhadap fesyen sejak kecil lagi dan hal itu turut mendapat sokongan keluarganya.

“Biarpun saya OKU, sejak kecil saya memang suka memadankan pakaian dengan aksesori bersesuaian. Jujur saya merupakan seorang yang sangat teliti dalam perihal pemilihan pakaian yang digayakan.

“Ibu saya juga memainkan peranan utama dalam menentukan fesyen yang digayakan selain bertindak seperti ‘perunding imej’. Ibu mengetahui apa yang saya suka dan tidak,” kata Nadeera yang kini merupakan eksekutif sumber manusia di salah sebuah syarikat pembinaan ternama di ibu negara.

Sebelum memasuki alam kerjaya pada tahun 2017, Nadeera ialah pelajar pintar yang ditawarkan biasiswa bagi kategori Bursari Keperluan Khas daripada Yayasan Sime Darby (YSD) sepanjang setahun pengajian di Universiti Nottingham Malaysia, Semenyih, Selangor.

Menyorot kembali perjalanan hidupnya, Nadeera berkata, pelbagai rintangan dan cabaran ditempuhinya termasuk untuk diterima bersekolah namun akhirnya dipermudahkan tuhan.

Ceritanya, kehidupan sebagai pelajar benar-benar mencabar dek serba-serbi kekurangan yang ada pada dirinya.

“Saya memang tidak boleh berjalan dengan sendiri. Penyakit tulang rapuh yang saya alami bermula dari bahagian bahu hingga ke bawah tubuh badan.

“Jadi saya terpaksa menggunakan kerusi roda khas sejak kanak-kanak hinggalah sekarang. Pergerakan saya benar-benar terbatas dan banyak dibantu ibu bapa.

“Di sekolah pula, guru-guru dan rakan-rakan banyak membantu memudahkan pergerakan dan segala urusan persekolahan hinggalah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya yang bersekolah di Johor Bahru.

Nadeera berkata, berkat kesabaran dan kesungguhannya, dia berjaya memperoleh 7A pada SPM 2009 sekali gus dinobatkan sebagai pelajar terbaik OKU bagi negeri Johor.

Selepas mendapat keputusan cemerlang, Nadeera dan keluarganya gigih memohon sebanyak mungkin penajaan biasiswa bagi menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda.

Boleh dikatakan banyak rintangan yang dihadapinya bersama keluarga dalam usaha mendapatkan penajaan yang benar-benar sesuai dengannya.

“Saya memang meminati bidang psikologi sejak dari sekolah menengah lagi. Pun begitu tidak ada satu pun penajaan biasiswa yang saya terima untuk jurusan tersebut.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ada menawarkan biasiswa namun memerlukan saya mengikuti bidang lain selain daripada psikologi.

“Setelah berbincang, keluarga bersetuju menanggung perbelanjaan di sepanjang pengajian saya di Universiti Nottingham Malaysia di Semenyih bermula 2011 dalam jurusan sains psikologi,” katanya.

Nadeera memberitahu, pada tahun akhir pengajianlah dia ditawarkan biasiswa bagi kategori Bursari Keperluan Khas daripada YSD sepanjang setahun pengajian.

Usai tamat pengajian, rezeki sekali lagi menyebelahinya apabila ditawarkan jawatan sebagai eksekutif sumber manusia di salah sebuah syarikat pembinaan ternama.

Ditebak mengenai profesion yang jauh tersasar dengan jurusan diambil di universiti, Nadeera menyatakan itu sudah takdir dan rezeki buatnya.

“Jujur saya memang suka dan impikan untuk bekerja dalam bidang psikologi. Namun rezeki berpihak kepada saya dalam profesion lain.

“Selain itu, saya ambilnya sebagai satu cabaran buat diri sendiri,” tuturnya yang kini hanya bekerja dari rumah rentetan pandemik Covid-19.

Peragaan

Bercakap soal peragaan dan fesyen, umum tahu kriteria seseorang model biasanya dalam kalangan mereka yang berupa paras cantik, kacak selain memiliki ketinggian standard sebagai peragawan mahupun peragawati.

NADEERA menunjukkan salah satu aksi peragaannya.

Namun, Nadeera dan beberapa rakannya juga pernah melibatkan diri dalam dunia glamor itu di bawah kendalian agensi peragaan OKU, Don Management.

“Saya dan beberapa rakan OKU lain yang bernaung di bawah agensi tersebut pernah dijemput memperagakan label jenama pakaian khas untuk OKU di Malaysian Fashion Week Runway pada tahun 2018.

“Ini satu pencapaian yang tidak pernah difikirkan sepanjang hidup saya.

“Secara tidak langsung ini memberi inspirasi kepada diri sendiri dan orang lain yang turut meminati bidang fesyen terutamanya dalam kalangan kelainan upaya,” ujarnya yang menyifatkan kecantikan bukan dinilai hanya dari luaran.

Tidak terhenti setakat itu, Nadeera memaklumkan, pada tahun ini dia dan tujuh peserta wanita OKU lain turut menyertai pertandingan Miss Amazing bagi sesi 2020/2021 yang mana sang juara bakal diumumkan Mac depan.

“Miss Amazing bukan sekadar pertandingan, malah turut memerlukan kami menghadiri seminar dan bengkel dandanan serta mengikuti beberapa modul lain yang wajib dihabiskan,” katanya.

Nadeera menyatakan, dia merancang untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang psikologi suatu hari nanti, sekali gus menggapai impian hidupnya untuk bergelar ahli psikologi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI