PETALING JAYA – Semakin banyak pihak yang tampil ke hadapan melahirkan rasa kecewa dan bimbang mereka terhadap cadangan pelaksanaan Dasar Penamat Generasi (GEG) untuk mereka yang lahir bermula tahun 2007 di Parlimen baru-baru ini.
Malaysian Association of Vape Entity (Move) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, cadangan polisi tersebut menunjukkan bahawa Kementerian Kesihatan tidak mengambil kira pandangan dan kegusaran para pengguna sebelum ini.
“Kami telah menyatakan pandangan kami secara terbuka kepada KKM sebelum ini.
“Kami juga yakin sekiranya akta ini diluluskan, akan ada pertambahan penggunaan rokok seludup.
“Seperti yang kita sedia maklum, rokok-rokok seludup ini harganya jauh lebih murah dan boleh dibeli dengan mudah.
“Bahkan, cara pembuatannya juga diyakini tidak memenuhi standard pembuatan rokok,” jelasnya.
Move adalah sebuah organisasi yang memberikan banyak faedah kepada kira-kira 52,000 ahli yang ditubuhkan dengan tujuan untuk mengawal selia industri vape Malaysia.
Kenyataan itu menambah, kajian saintifik juga telah terbukti menunjukkan bahawa alternatif kepada produk tembakau seperti vape adalah lebih selamat dan berupaya membantu pengguna untuk berhenti merokok.
Selain daripada faktor kesihatan, pertambahan kepada penggunaan vape juga adalah didorong oleh harga rokok yang sangat tinggi di Malaysia.
‘Rakyat kini sudah sekian lama terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, dan dengan mengawalselia produk alternatif tembakau seperti vape sama seperti pengawalseliaan rokok, ia semestinya akan menambahkan kesengsaraan rakyat,” ujarya.
Move juga berpendapat, akta tersebut jelas tidak mengendahkan langsung hak pengguna untuk memilih gaya hidup mereka sendiri.
“Kami menyokong jika polisi baharu itu dihadkan hanya untuk rokok biasa dan kami bersetuju industri vape ini memerlukan regulasi, namun kami sebulat suara menolak sekeras-kerasnya cadangan untuk vape dan produk alternatif rokok lain daripada menjadi sebahagian daripada GEG,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE