PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) mahu Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik dapat dibentangkan sekurang-kurangnya pada bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat kali ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, RUU berkenaan adalah antara agenda yang dimulakan dan diperjuangkan BN selama ini.
Beliau berkata, RUU Sumbangan Politik adalah satu komitmen BN malah, ia adalah cadangan awal yang dikemukakan BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi.
“Kita mahu supaya masalah akauntabiliti, ketelusan dan pergerakan wang sesuatu parti politik dapat ditentukan pada satu proses undang-undang.
“Jadi, kita harapkan ia (RUU Sumbangan Politik) dapat diluluskan seperti mana kita lihat RUU Anti Lompat Parti diluluskan sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurkan majlis penutup Forum Polisi Cukai Malaysia Ke-3 di sini hari ini.
Katanya, beliau juga berharap RUU itu dapat diluluskan sebelum PRU-15 namun, tarikh pilihan raya itu masih tidak diketahui.
Ditanya mengenai pelantikan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari BN Selangor, Zambry berkata, ia satu pelantikan yang baik memandangkan Tengku Zafrul juga adalah anak jati Selangor.
Malah, katanya, pelantikan itu juga dapat memberi impak besar kerana latar belakang beliau selalu Menteri Kewangan.
“Saya yakin dengan kemampuan Tengku Zafrul dan beliau dapat berikan yang terbaik kepada BN Selangor,” katanya.
Ditanya sama ada pelantikan itu kaitan dengan ura-ura mahu meletakkan Tengku Zafrul sebagai calon di Kuala Selangor, Zambry berkata, perkara itu akan diputuskan di peringkat BN.
“Pelantikan beliau amat positif kepada BN kerana kita selama ini sentiasa kemukakan calon muda dan baharu seperti yang dapat kita saksikan dalam pilihan raya negeri di Melaka dan Johor baru-baru ini,” katanya.
Katanya, BN sentiasa mahu tampilkan wajah baharu bagi mendapatkan impak yang baik sekali gus membawa perubahan. – KOSMO! ONLINE