JOHOR BAHRU – Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim berkongsi kekecewaan di Instagram apabila kereta kesayangannya bergeser dengan sebuah kereta BMW di hadapan sebuah kedai di Jalan Serampang, Taman Pelangi di sini hari ini.
Tunku Idris turut berkongsi gambar keretanya yang tercalar dan gambar kereta yang melanggarnya selain rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden itu.
Menurut rakaman CCTV tersebut, kejadian berlaku pada pukul 2.17 petang tadi ketika pemandu BMW bernombor pendaftaran Singapura itu masuk ke ruang parkir yang kosong.
Video berdurasi 60 saat itu menunjukkan pemandu lelaki keluar daripada kenderaan tersebut dan berlalu pergi melewati kenderaan Tunku Idris tanpa melihat sekiranya berlaku kerosakan atau tidak.
Difahamkan, kereta dipandu Tunku Idris itu ialah kereta elektrik buatan Honda iaitu Honda E, kereta yang menggunakan 100 peratus elektrik dan tidak mempunyai enjin.
Harga seunit kereta model tersebut bagi pasaran negara ini bermula RM210,000.
Turut difahamkan hanya terdapat empat unit sahaja kereta model itu yang berada di Malaysia dan salah sebuahnya dimiliki oleh Tunku Idris.
Ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian tersebut.
Katanya, laporan polis mengenai kejadian tersebut sedang dilakukan.- KOSMO! ONLINE